Ramlah bersama Mohd Azuan.


JENGKA - Seorang remaja yang juga anak kepada peneroka Felda Jengka 4 hanya mampu terlantar dan menangis sekiranya lapar sejak 22 tahun lalu.

Remaja itu, Mohd Azuan Mat Yusof, 22, berkeadaan sedemikian sejak mengalami demam panas ketika usianya baru mencecah 40 hari menyebabkan segala keperluannya perlu diuruskan ibu bapanya, Ramlah Seman, 55 dan Mat Yusof Noh, 66.


Ramlah berkata, ketika itu Mohd Azuan dimasukkan ke unit rawatan rapi di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan selama 10 hari.

“Selama 10 hari dia ditahan di dalam unit rawatan rapi dan lapan hari lagi di dalam wad. Selain demam panas, dia juga mengalami masalah paru-paru berair.

“Saya diberitahu doktor juga tidak dapat melakukan apa-apa. Saya pernah berubat kampung, namun tidak berhasil,” katanya.

Dia berkata, Mohd Azuan memakai lampin pakai buang dan memakan bijirin setiap hari.

Menurutnya, dia dan suaminya juga terpaksa mendukung anaknya itu jika hendak ke mana-mana.

“Jika lapar, dia akan menangis. Pergerakannya seperti bayi baru lahir walaupun berusia 22 tahun.

"Belum ada lagi dalam sejarah keluarga menghidap penyakit misteri itu. Namun kami tetap bernasib baik. Walaupun Mohd Azuan hanya mampu terlantar, dia tidak mengalami sebarang sakit kronik lain selain sawan," katanya.

Sinar Harian difahamkan Mohd Azuan menerima bantuan sebagai orang kurang upaya (OKU) terlantar daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM150 sebulan.

“Walaupun dikurniakan anak cacat, saya reda dengan ketentuan ALLAH dan menganggap pemberian ini sebagai cabaran untuk saya membesarkan anak OKU.

“Namun saya dan suami sedikit bingung memikirkan nasib anak kami apabila kami tiada nanti,” katanya.-sinar harian

Posting Komentar

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top