Diijabkabulkan pada 20 November lalu, aktor berbakat besar,  Zahiril Adzim mengakui kehidupannya semakin bahagia bersama pelakon dan pengacara TV3, Shera Aiyob.
Walaupun masing-masing sibuk dengan kerjaya, namun setiap masa yang terluang akan diisi sepenuhnya untuk bersama.
Mengakui semakin tenang dan gembira setelah bergelar suami, Zahiril atau nama sebenarnya, Mohd Zahiril Adzim, 28, berbangga kerana berjaya menambat hati Shera.


“Alhamdulillah, kami masih melalui saat-saat bahagia. Walaupun sibuk, kami tetap menghabiskan masa bersama.
“Begitu juga Shera, dia sangat bijak menguruskan waktu untuk menggalas tanggungjawab sebagai isteri. Dia tidak lupa tugasnya sebagai isteri dengan menguruskan makan minum saya.
“Kehidupan saya semakin terurus sejak berkahwin kerana Shera juga menjaga jadual kerja saya. Walaupun dia tidak dapat menemani saya ke lokasi penggambaran, tetapi ia sudah cukup memadai,” katanya yang bakal menjalani penggambaran, Hanya Padamu, terbitan Filmscape.
Luang masa bersama
Walaupun masing-masing sibuk dengan kerjaya, namun ia tidak membatasi pasangan ini meluangkan masa bersama.
Menurut Zahiril, jika ada waktu lapang, mereka akan meluangkan masa bersama. Malah, jika masing-masing sibuk, terbit rasa rindu apabila berjauhan.
“Kadang-kala, kalau saya terpaksa berada di luar kawasan untuk penggambaran, perasaan rindu itu mula mengganggu fikiran.
“Begitu juga dengan Shera. Kami akan saling merindui ibarat sudah lama tidak berjumpa. Namun, atas tuntutan kerja, kami terpaksa merelakannya.
“Bagi saya, Shera bukan sahaja sebagai isteri, malah dia juga kawan rapat saya. Begitu juga dengan dia, sebab itulah bila salah seorang tak ada, kami akan rasa sunyi,” katanya yang mengharapkan hubungan terbina kekal hingga ke akhir hayat.
Shiera belajar masak
Cuba untuk memberikan yang terbaik kepada suami, Shera juga turut mempersiapkan diri dengan ilmu masakan.
Katanya, jika ada kelapangan, dia akan menyediakan makanan untuk Zahiril. Mengakui tidak terlalu pandai untuk memasak, namun air tangan Shiera, Masak Lemak Ayam, berjaya memikat rasa suaminya.
“Kalau keluar bersama, saya akan singgah ke kedai buku untuk membeli buku masakan. Kalau boleh, saya sentiasa ingin cuba memasak hidangan baru untuk suami.
“Selepas pulang daripada kerja, saya akan masak. Tapi, jika balik lewat, suami tidak memaksa untuk masak kerana faham saya penat.
“Jadi, kami akan makan di luar sahaja. Kadangkala, Zahiril juga ada membantu apa yang patut di dapur,” katanya yang pernah membintangi filem Karak.
Idam cahaya mata
Seperti pasangan lain, baik Zahiril mahupun Shera, masing-masing memasang impian untuk memiliki cahaya mata dalam masa terdekat.
Mengakui sudah bersedia menerima kehadiran cahaya mata sebagai pelengkap keluarga, mereka berasa cemburu apabila rakan-rakan mereka mula memiliki anak.
“Saya dan isteri memang mahukan anak cepat-cepat malah, bila ada rakan beritahu berita  gembira, kami mula cemburu.
“Saya tak sabar untuk bergelar bapa dan meniti hari sebagai bapa, suami dan ketua keluarga. Namun, saya tidak terdesak untuk memiliki anak. Jika ada rezeki kami, kami bersyukur.
“Lagipun, kini masing-masing sibuk dengan karier. Saya hanya berserah kepada ALLAH SWT,” kata pelakon filem Bunohan ini.
-www.sinarharian.com.my-

Posting Komentar

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top