Kisah percintaan pasangan sejoli ini cukup ringkas. Perkenalan ketika terlibat dengan penggambaran drama Athirah pada tahun 1999, menjadi titik tolak percintaan mereka.
Dalam masa dua minggu selepas berkawan, Rashidi Ishak nekad untuk melamar Vanidah Imran menjadi suri hidupnya.
Setahun selepas itu, 1 Oktober 2000, mereka sah bergelar suami isteri dan perkahwinan yang dibina atas cinta itu kini dilengkapi dengan kehadiran dua cahaya mata; Mikail Aimran, 11, dan Maryam Rashika, 8.
Menurut Vanidah yang mesra di sapa Vee, dalam tempoh 12 tahun berkahwin, bohonglah andai dikatakan mereka berdua tidak pernah melalui dugaan dalam berumah tangga.
Namun, pesan orang tua mengenai hidup berumah tangga menjadi pegangannya dan mereka sedaya upaya mengatasi apa jua masalah dengan cara yang matang.

“Masa Vee remaja dulu, Vee sering dengar kakak-kakak sepupu Vee berbual tentang kehidupan berumah tangga. Contohnya, dalam perkahwinan kita kena banyak belajar bersabar, cara bercakap dengan suami kena lembut.

“Kadangkala memang kami ada tergigit lidah, tapi jika ada perkara yang kami tidak puas hati, kami akan duduk dan berbincang, berterus terang tentang apa yang kita kurang senang. Tapi bukan ketika api sedang marak, biasanya lepas masing-masing sejuk, baru kita akan berbincang.
“Namun dalam masa yang sama, Vee sangat beruntung dikurniakan seorang suami yang sangat terbuka dan mudah di bawa berbincang. Jadi apa sahaja kelemahan suami, Vee terima seadanya. Seperti mana dia menerima apa sahaja kekurangan Vee,” ujarnya kepada Zass.
Bagi Rashidi pula, atau lebih dikenali sebagai Shidi, seseorang lelaki yang mengambil keputusan untuk berkahwin, seharusnya menitik berat soal tanggungjawab dan harus tahu peranan mereka sebagai suami dan ketua keluarga.
“Jika kita sudah berkahwin, kita tidak perlu diingatkan atau diberitahu apa tanggungjawab kita dan apa peranan kita kerana kita sepatutnya sudah maklum dengan tanggungjawab kita apabila berkahwin.
“Jadi secara tidak langsung, rumah tangga kita akan jadi harmoni dan belajarlah untuk menghormati pasangan, bersikap jujur dan bertoleransi,” katanya.
Impian terlaksana
Menyentuh mengenai gandingan mereka dalam filem Untuk Tiga Hari, Shidi berkata, impiannya untuk digandingkan bersama isteri tercinta akhirnya terlaksana jua.
Katanya, dia sememangnya sudah lama mengimpikan untuk digandingkan sebagai pasangan Vee, tidak kisah dalam drama atau pun filem. Namun, hanya memendam impiannya itu tanpa diketahui sesiapa.
“Hanya ketika sidang media selepas sesi tayangan baru-baru ini, barulah saya mengaku impian saya terlaksana untuk digandingkan bersama isteri tercinta.
“Memang terasa lucu apabila kami diminta bercinta seperti pasangan muda. Tapi, Alhamdulillah kami berjaya juga lakukan,” katanya.
Bagi Vee pula, dia terkejut ketika Afdlin Shauki sebagai pengarah Untuk Tiga Hari memaklumkan kepadanya, dia mahu Shidi menjadi pasangan Vee di dalam filem berkenaan.
Katanya, biar pun tidak ada masalah untuk digandingkan, namun mereka harus meletakkan sedikit tembok supaya tidak kelihatan terlalu selesa.
“Vee ada cakap pada Shidi, di rumah saya adalah isterinya, tapi di lokasi saya adalah isteri Afdlin (ketawa). Namun sebenarnya, yang paling sukar adalah bila Afdlin minta Vee melatah.
“Habis semua orang melatah di lokasi Vee cucuk untuk mencari cara latah yang sesuai dengan Vee kerana Vee memang tak melatah. Namun, bila habis sahaja babak latah, ada saja yang cuba untuk cucuk Vee tapi Vee terpaksa kontrol kerana tidak mahu terbawa-bawa,” jelasnya.
Anak jadi keutamaan
Menyentuh tentang perihal keluarganya, terutamanya berkaitan permata hatinya, Vee berkata, dia tidak menghalang andai Mikail atau Maryam mahu mengikut jejak langkah mereka berdua terlibat dengan industri seni.
Malah, sebagai percubaan pertama, Vee memberi pelepasan kepada Mikail dan Maryam menyertai pementasan Siti Di Alam Fantasi pada akhir tahun 2010.
“Vee memang tidak pernah mengongkong apa sahaja minat anak-anak kerana bagi Vee, ini adalah tempoh pembelajaran mereka dan tempoh untuk mereka mencari apa sebenarnya yang mereka benar-benar suka.
“Tapi jika mengenai tawaran berlakon, Vee lebih selesa lepaskan mereka pada orang yang Vee kenal dan percaya kerana anak-anak Vee sekolah Cina dan kerja rumah mereka memang banyak. Malah, jadual mereka yang padat juga memerlukan pihak produksi mengikut jadual mereka,” katanya.
Menurut Vee, dia berasa gembira apabila anaknya tidak malu untuk berdepan dengan orang ramai dan suka mencuba banyak benda baru.
Katanya, dia juga tidak kisah untuk mengeluarkan belanja lebih demi masa depan yang baik buat anak-anaknya itu.
“Contoh macam Maryam, dia pernah menyertai kelas balet, tapi lepas setahun dia tidak mahu menyertai kerana tidak minat dan Vee cuma kata, okey lepas ini kita cuba yang lain pula.
“Vee tidak mahu halang apa yang mereka lakukan kerana anak-anak sekarang, lagi kita halang, perasaan ingin tahunya lebih tinggi. Tapi dalam masa yang sama, Vee ajar mereka untuk bersyukur dengan apa sahaja yang mereka miliki atau nikmati.
“Selain itu, Vee juga turut memantau pemakanan seharian anak-anak demi memastikan kesihatan mereka berdua terjamin,” ujar anak kelahiran Pulau Pinang ini.
Vee berkorban
Bercerita mengenai karier seninya, Vee berkata, dia kini terpaksa mengurangkan aktiviti lakonan kerana terikat dengan jadual kelas pada hujung minggu.
Vee yang kini sedang menuntut di Universiti Terbuka Malaysia dalam peringkat Ijazah Sarjana Muda, mengakui terpaksa menolak banyak tawaran lakonan kerana bimbang mengganggu jadual kelasnya.
“Vee mula belajar dari 2010 dan akan tamat pada 2014. Memang agak penat dengan tugasan, peperiksaan dan sebagainya, tapi bagi Vee ini adalah pengorbanan untuk masa depan.
“Insya-ALLAH jika sukses, Vee berharap dapat menyambung ke peringkat Sarjana Muda pula. Alhamdulillah, sehingga kini, Vee masih belum mengulang kertas lagi.
“Bila ada tawaran yang datang, Vee akan semak dulu dengan jadual kelas. Kalau tiada pertembungan atau mereka boleh beri pelepasan jika Vee ada peperiksaan, baru Vee terima,” jelasnya.
Shidi ‘mengidam’
Berlainan pula ceritanya dengan si suami, pengalaman mengarahkan beberapa buah drama seperti Mimpi Sabrina, Bonus Hari Raya, Makmal Forensik membuatkan Shidi ‘mengidam’ untuk mengarahkan filem.
Bagaimanapun, Shidi terpaksa menyimpan dahulu hasratnya itu kerana masih belum ada tawaran yang diberikan kepadanya.
“Buat masa ini, saya hanya mempromosikan filem Untuk Tiga Hari dan menunggu tayangan Husin, Mon dan Jin Pakai Toncet arahan Mamat Khalid serta sebuah lagi filem yang juga arahan Mamat yang belum tahu judulnya,” katanya.
Bercerita mengenai tawaran lakonan yang sebelum ini pernah diterimanya, Shidi berkata, dia tidak pernah memilih skrip dan tidak mengidam untuk membawa watak yang berlainan.
“Bagi saya setiap naskhah yang diterima, watak yang di bawa berlainan walaupun mungkin jalan ceritanya sedikit sama. Tapi tidaklah seperti sesetengah pelakon sekarang yang mengidam untuk membawakan watak itu dan ini.
“Kalau saya, jika skrip dan jalan cerita menarik, saya tidak ada masalah untuk menerimanya,” katanya.
5 Perkara mengenai Shidi di mata Vee:
1. Diam jika ada masalah kerana dia tidak mahu saya risau.
2. Bukan seorang yang cepat buruk sangka dan jujur.
3. Tak cerewet tentang makan.
4. Berjiwa sensitif.
5. Takut lipas!
5 perkara mengenai Vee di mata Shidi:
1. Penyabar dan penyayang.
2. ‘Workaholic’.
3. Teliti dan penting kesempurnaan.
4. Pelakon yang hebat.
5. Pendengar yang baik.

Posting Komentar

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top