Kasihannya nasib perempuan cantik dan popular. Kalau mula meniti tangga kejayaan, ada saja pihak yang berdengki, tidak berpuas hati dan mula berprasangka buruk. Jatuh dan menjatuhkan jangan ceritalah, ibarat cuba menabur pasir di periuk nasi.
Ada cerita kurang enak mengatakan pelakon jelita sedang mencipta nama, Izara Aishah tidak berdisiplin apabila lewat tiba temu janji. Perkara itu ada disiarkan dalam ruangan gosip tetapi pelakon kelahiran Pulau Pinang itu tidak pernah memberi kenyataan balas.
Namun ada juga yang tidak percaya cerita itu kerana sepanjang bekerja dengannya, Izara tidak pernah menimbulkan masalah.
Bukan itu saja, pernah mengadakan temujanji untuk sesi fotografi baru-baru ini dan digandingkan dengan beberapa orang lagi artis, Izara orang pertama sekali sampai. Apabila timbul gosip mengatakan Izara tidak berdisiplin dan sering memungkiri temujanji membuatkan rakan tadi tidak percaya.
Pernah juga isu membabitkan disiplin Izara diperbincangkan di kalangan teman-teman industri yang pernah bekerja dengannya. Dalam sedap berbincang, timbul pula cerita menarik yang Cak mahu kongsi dengan semua.
Kata mereka, ada konspirasi yang cuba menjatuhkan nama pelakon jelita itu memandangkan dia kini sedang ‘hot’ dan menjadi pilihan banyak penerbit filem dan drama. Apatah lagi kebanyakan drama lakonannya seperti Vanila Coklat juga Naziha memperoleh jumlah penonton paling tinggi.
Ada pihak cuba menghasut dan ‘membakar’ beberapa pihak yang sebelum ini berhadapan dengan masalah, membabitkan temujanji bersama Izara yang tidak menjadi. Kata teman itu, ia berlaku disebabkan salah komunikasi. Malah ada temu janji dibuat dengan pihak media tanpa pengetahuan pelakon jelita itu.
Tidak kurang ada menuduh dan memfitnah Izara sudah pandai demand, naik lemak dan tidak boleh diberi muka. Disebabkan itu juga, apabila ada perkara berlaku membabitkan pelakon itu, mereka akan ‘pukul’ kiri kanan.
Menurut teman-teman tadi, Izara sedar perkara itu dan pihak pengurusannya sudah mengambil tindakan terhadap beberapa pihak tidak bertanggungjawab.
Senario membabitkan Izara juga berlaku sejak dulu. Apatah lagi dalam industri kita yang kecil ini, masing-masing cuba cantas-mencantas. Tidak kira apa juga cara yang penting dia harus berada di atas. Kita harus ingat dunia ini bulat dan Tuhan Maha Adil. Jika hari ini kita buat orang, esok lusa perkara itu akan terpalit ke muka kita kembali.



Posting Komentar
Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda