Saya remaja perempuan yang baru tamat pengajian di institusi pengajian tinggi awam dan mempunyai pendidikan agama yang kuat hasil didikan ibu bapa. Masalah timbul apabila saya sering kali didatangi musibah hingga membuatkan saya stres dan emosional.

Sejak itu saya mula menghisap rokok dan tidak lagi mendirikan solat ataupun menutup aurat. Kadangkala terdetik di hati saya, adakah Allah itu wujud? Apakah buktinya? Saya juga mula mempersoalkan suruhan agama lain seperti tuntutan menutup aurat dan hak poligami.

 Saya tidak menentang ajaran agama tetapi saya hanya mempertikaikannya. Adakah saya dikira murtad?

BUNGA 
Subang Jaya

Saya simpati dengan masalah yang menimpa saudari. Orang Islam dididik supaya bersabar ketika menerima musibah dan bersyukur sewaktu menerima nikmat. Setiap ujian Allah ada hikmahnya, cuma manusia yang cetek ilmu untuk menafsirkannya.

Memandangkan saudari tidak kuat menghadapi dugaan bersendirian, sebaiknya bersandar pada mereka yang kuat. Bila berdepan musibah rujuklah pada ibu bapa dan keluarga terdekat, pastinya mereka akan menasihati saudari ke jalan yang benar.

Saudari kecewa kerana hajat tidak tertunai lalu mula mempertikaikan kewujudan Allah. Ketahuilah bahawa Rukun Iman antaranya mewajibkan kita percaya pada qada dan qadar iaitu ketentuan daripada Allah. Terimalah ketentuan Allah dengan reda, serahkan diri pada Allah dan saudari akan tenang.

Hayati firman Allah SWT, “Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang Mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” (surah al-Baqarah, ayat 216)

Posting Komentar

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top