Cinta Diana tak kesampaian... (3 GAMBAR)
Cinta Diana tak kesampaian... (3 GAMBAR) | Kematiannya diratapi jutaan manusia di seluruh dunia. Pemergian mengejutnya pada 31 Ogos 1997 akibat kemalangan maut di terowong Pond de l’Alma dekat Paris, Perancis sekelip mata jadi tumpuan dan ramai tidak dapat menerima puteri kesayangan dunia ini sudah tiada.
Turut maut dalam kemalangan itu ialah hartawan Dodi al-Fayed yang disebut-sebut sebagai bekas kekasihnya.
Ketika itu seluruh dunia berkabung, menangis dan memberi penghormatan terakhir buat bonda kepada dua putera yang juga pewaris takhta diraja Britain iaitu Putera William dan Putera Harry itu.
Sepanjang hayatnya, kemuliaan hati Diana menjadi nadi dan inspirasi di pelusuk mana pun dan biar apa dugaan hebat termasuklah perceraiannya dengan Putera Charles, senyuman manisnya tidak pernah lekang.
Mendiang umpama sebutir berlian yang sentiasa memberikan harapan kepada manusia sejagat di mana usahanya untuk membantu kebajikan golongan susah tidak putus.
Lantas, tragedi yang meragut nyawanya itu cukup membuatkan jutaan hati hancur luluh sehinggakan pelbagai spekulasi timbul, ada menyalahkan papparazzi serta tidak ketinggalan mendakwa kemalangan itu dirancang.
Bercerai dan diasingkan dari Istana Buckingham, tidak termasuk terpaksa berjauhan daripada dua putera kesayangannya mungkin sudah membuat beliau sengsara namun siapa tahu apa sebenarnya kesengsaraan paling hebat melanda beliau.
Itulah yang cuba dipaparkan pada filem biografi mendiang hasil karya pengarah hebat Oliver Hirschbiegel menggambarkan keadaan Diana lakonan hebat calon Oscar, Naomi Watts dalam dua tahun terakhirnya sebelum pergi buat selama-lamanya.
Seluruh dunia ditinggalkan dengan teka-teki mengenai kesahihan percintaannya dengan Dodi, tapi ternyata di hati beliau, cuma ada seorang yang benar-benar menambat hatinya seperti diceritakan menerusi buku tulisan Kate Snell berjudul Diana: Her Last Love pada 2001.
Kisah buku itulah menjadi tunjang kepada filem arahan Hirschbiegel itu di mana betapa baru hendak menyulam bahagia merasai dicintai semula pakar bedah Doktor Hasnat Khan, impian mahu bersamanya punah meninggalkannya bertambah sengsara.
Setiap saat hidupnya sepanjang dua tahun berkenaan selepas bercerai dan tinggal seorang diri di Kensington Palace cukup menyedihkan di mana hanya kesibukannya beramal serta menjalankan misi kemanusiaan jadi cara terbaik tidak bermurung.
Namun pertemuannya dengan Hasnat mengubah segala-galanya di mana beliau mendapat semangat untuk merasai semula kegembiraan dan dengan lelaki itulah beliau mengenal semula apa ertinya bahagia.
Memang lari daripada perspektif yang mungkin diharapkan penonton namun bersedia untuk menyelami plot penceritaan di mana pengembangan kisah cintanya diselang-seli dengan buaian emosi.
Bertemu semula cinta sejati dan mengharapkan hubungan dengan Hasnat lakonan Naveen Andrews berakhir gembira, sebaik dihidu media, dari situlah beliau sendiri tahu cintanya tidak ke mana manakala kekasihnya itu pula harus berpegang kepada prinsipnya yang pentingkan privasi.
Maka, pertemuan terakhir di Hyde Park, London pada Jun 1997 menoktahkan cinta mereka dan dia sendiri yang memberi kata putus itu selepas berasakan dirinya tidak mungkin diterima keluarga Hasnat.
Jelas, Dodi bukan sesiapa dan bukannya kekasihnya seperti didakwa kerana beliau sebenarnya hanya mahu berdampingan dengan lelaki itu untuk meraih perhatian Hasnat dan membuatnya cemburu.
Kesanggupannya berkunjung ke kampung halaman Hasnat di Lahore, Pakistan juga cukup menyentuh di mana dia langsung tidak memanipulasi gelarannya sebagai puteri demi memikat hati keluarga kekasihnya itu terutama ibunya.
Naomi beraksi cemerlang
Kecaman daripada pelbagai pihak terutama sekali bagi rakyat Britain yang sendiri mengenali karakter sebenar Diana mula diterima. Bagaimanapun jika begitulah karakternya seperti ditunjukkan Naomi, ia memang cukup menyentuh.
Di sebalik senyuman yang tidak pernah mengenal situasi dan sentiasa manis itu, Diana sebenarnya sering kali tumpas dengan emosi terutama apabila berseorangan. Air mata sering jadi peneman apabila dia sudah tidak mampu menyembunyikan kesedihan.
Naomi berjaya menggambarkan karakter itu dengan cemerlang. Wajahnya tidak lekang daripada berseri namun bila di rumah, dia seakan seorang yang hilang arah tuju, murung dan kurang bermaya.
Begitu juga sewaktu dia melakonkan babak di mana dia perlu berhadapan dengan media, berucap, melawat ke lokasi terbabit untuk misi kemanusiaan, sungguh anggun pembawaan aktres itu menggambarkan Diana.
Daripada segi teknikal, muzik skor untuk filem ini cukup untuk membuai emosi dan sudah namanya filem biografi, pecahan setiap plot bukan isu utama kerana kesinambungan daripada pelbagai insiden pada dua tahun itu diceritakan dengan sempurna.
Sementara itu, dengan reaksi tidak memberangsangkan daripada rakyat Britain sendiri terhadap puteri kesayangan mereka itu, pengarahnya Hirschbiegel cukup kecewa namun tidak menyesal menghasilkan karya itu.
Dia mengakui disebabkan ulasan pedas yang diberikan pelbagai pihak itu sedikit-sebanyak mempengaruhi penonton, namun berharap mereka tidak dibayangi pandangan orang lain untuk menyaksikan Diana.
Meskipun kurang disenangi di Britain, dia bagaimanapun cukup lega selepas filem berkenaan mendapat reaksi bagus di negara lain termasuklah Poland, Republik Czech, Turki dan Slovakia.
Diana bakal menemui penonton di pawagam bermula 7 November ini.-hmetro
Posting Komentar
Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda