Turki : Pasaraya Tesco di Britain mengemukakan permohonan maaf susulan pendedahan mengenai penemuan DNA mengandungi babi dan kuda dalam produk daging lembu yang dijual di Tesco di Britain.

Dalam emelnya kepada al-arabiya, Tesco turut memaklumkan bahawa ia tidak mempunyai rangkaian pasaraya itu di Asia Barat, justeru ia tidak mengeksport daging ke rantau tersebut.

Bagaimanapun jurucakap Tesco yang berpengkalan di London, Emma Capon memberitahu, Tesco mempunyai pasaraya di Turki dan Malaysia, iaitu negara yang mempunyai majoriti penduduk beragama Islam.

Bagaimanapun jelasnya, tiga produk yang kini disiasat oleh pihaknya itu tidak dijual di pasaran Turki atau Malaysia

“Semua daging yang dijual di Tesco Malaysia mendapat pengesahan halal daripada pihak berkuasa agama di negara itu. Manakala di Turki pula, Tesco Kipa menawarkan kepada pelanggan produk halal dan tidak halal.

“Kami memahami dan turut berkongsi kebimbangan dengan pelanggan kami yang tidak mengambil daging berkenaan. Kami memohon maaf kepada mereka,” demikian kenyataan Capon yang dipetik dalam Al Arabiya.

Skandal tersebut meletus minggu lalu selepas siasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa keselamatan Makanan Ireland (FSAI) menemui DNA daging kuda dan babi setinggi 29% dalam produk yang berlabel daging lembu, yang dijual di Tesco.

Malah Perdana Menteri Britain, David Cameron menyifatkan insiden itu sebagai tidak boleh diterima.

Beliau menggesa agensi makanan Britain menjalankan siasatan segera.

Mengenai isu tersebut, Capon berkata, walaupun FSAI mendedahkan ia menemui paras yang rendah DNA mengandungi babi, namun pihaknya memerlukan maklumat lanjut mengenai penemuan itu bagi membolehkan mereka bertindak.

“Kami sedang mendapatkan pengesahan mengenai penemuan itu dan akan memaklumkan kepada pelanggan,” katanya.

Capon turut menegaskan, Tesco mempunyai kawalan ketat terhadap semua produknya.-mynewshub.my

Posting Komentar

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top