KUALA LUMPUR, 11 JANUARI 2013: Rasanya bermula semalam sehingga ke hari ini, orang yang paling bertuah adalah Dato' Siti Nurhaliza kerana tidak putus-putus menerima pujian dan ucapan selamat sempena ulangtahun yang ke 34 yang jatuh pada hari ini, 11 Januari.

Pada yang mengenali atau meminati Dato' Siti Nurhaliza, angka sebelas memang sinonim dengan penyanyi tersebut dan seakan tuah buatnya yang lahir pada 11 Januari 1979 itu.


Walaupun kini dia menjalankan tanggungjawab menjaga suami tercinta, Dato` Seri Khalid Mohd Jiwa yang ditimpa kemalangan jalan raya, sempena hari lahirnya dia tetap sempat berterima kasih kepada peminat yang menghantar ucapan buatnya melalui satu entri di akaun Instagramnya.


Apa yang menarik perhatian semua followers akaun @CTDK adalah imej yang digayakan penyanyi kelahiran Pahang tersebut. Dia berkongsi satu gambar memperlihatkan dia bertudung litup seakan imej hijabista yang kini menjadi trend ikutan para wanita muslimah moden di negara kita.

Adakah ini imej terbarunya sempena ulang tahun kelahirannya yang ke 34? Turut berkongsi foto yang sama adalah pengurus merangkap kakak ipar kepada Dato' Siti Nurhaliza iaitu Rozi Abdul Razak. Diperhatikan gaya tudung ala Hana Tajima itu telah digayakan dalam rona hitam dan kelabu.

Pereka kegemarannya, Rizman Ruzaini turut berada bersama Dato' Siti Nurhaliza ketika foto itu di ambil. Adakah mungkin tudung itu telah direka oleh pereka tersebut? Itu semua belum dapat dipastikan kesahihannya. Tetapi apa jua telahan yang kita buat, lebih manis jika Dato' Siti sendiri tampil mengesahkan perkara ini.

Jika benar ini adalah imej terbaru penyanyi nombor satu negara itu, pasti ia akan menggembirakan ramai pihak terutama sekali para peminat yang sentiasa menyokong Dato' Siti Nurhaliza daripada dahulu sehingga kini.


Ia sekaligus dapat menutup cakap-cakap pihak yang sering mempersoalkan imejnya yang sebelum ini. Namun seperti apa yang dikatakan sebentar tadi, biar penyanyi itu sendiri mengesahkannya.

Dia juga sibuk melunaskan peranannya sebagai isteri, sampai ketika pasti dia akan tampil untuk menjelaskan adakah benar dia akan mengekalkan imej bertudung litup ala Hana Tajima itu.

Kalau ada yang tertanya siapakah Hana Tajima, dia seorang gadis kacukan Jepun dan Inggeris dan mula memeluk Islam beberapa tahun lalu. Melalui perniagaan online di bawah label Maysaa, dia berjaya menembusi pasaran antarbangsa dan sampai ke Malaysia. Tetapi gaya pemakaian tudungnya yang paling mendapat sambutan hangat para muslimah moden di negara kita.

Melihat kepada gaya pemakaian tudung Dato' Siti Nurhaliza itu, ia lebih kepada lilitan tudung yang sama digayakan ikon para hijabista tersebut. Warga murai.com.my juga gembira jika Dato' Siti Nurhaliza mengekalkan imej seperti ini kerana ia sopan namun tetap chic.

Kepada Dato' Siti Nurhaliza, kami di Murai.com.my mengucapkan selamat menyambut ulangtahun kelahiran yang ke-34. Semoga Dato' Siti Nurhaliza dan keluarga serta orang tersayang sentiasa dirahmati Allah SWT dan berada dalam keadaan sihat sejahtera.



Sumber: Murai.com.my


Posting Komentar

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top