ROSLEE menunjukkan jaket dan pelbagai peralatan yang dirampas daripada seorang lelaki yang menyamar sebagai doktor untuk memperdaya wanita-wanita bujang pada sidang akhbar di George Town semalam.

GEORGE TOWN – Kekecewaan lebih 20 wanita bujang yang kerugian RM500,000 selepas diperdaya seorang lelaki kasanova sedikit terubat apabila suspek yang menyamar sebagai doktor di sebuah hospital swasta di sini diberkas setelah memasuki perangkap polis Jumaat lalu.

Suspek berusia 45 tahun yang menggunakan nama Dr. Shiva Nair; Dr. Ragunathan dan Keeran Raj ditangkap di rumahnya di Bukit Gambir di sini pada pukul 10 malam 4 Januari lalu selepas terpedaya dengan lakonan polis yang berkenalan dengannya menerusi laman sosial.


Difahamkan, suspek yang hidup mewah hasil penipuan sejak 2001 hingga mampu menyewa rumah teres berharga RM1,800 sebulan hanya memilih wanita India berusia antara 25 hingga 40 tahun sebagai mangsa. Suspek sudah berkahwin dan mempunyai dua anak.

Kebanyakan mangsa pula bekerja sebagai guru, jururawat dan sektor perkilangan serta berstatus bujang. Mereka dipikat menerusi laman sosial Facebook dan Tagged.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Asisten Komisioner Roslee Chik berkata, selepas berkenalan, suspek akan berpura-pura mencintai mangsa hingga sanggup bertemu dengan ahli keluarga wanita-wanita itu kononnya untuk menetapkan tarikh pertunangan atau perkahwinan.

Katanya, suspek kemudian akan memberi alasan menghadapi masalah kewangan untuk berkahwin dan meminta wanita-wanita tersebut membantunya dengan meminjamkan wang atau barang kemas bagi membuktikan cinta mereka.-kosmo

Posting Komentar

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top