KUANTAN – Tiga daerah di Pahang iaitu Kuantan, Pekan dan Rompin berkemungkinan dilanda banjir semasa kejadian ribut tropika Sonamu yang diramal membadai negeri Pantai Timur bermula hari ini.


Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail, berkata sehubungan itu 66 pusat pemindahan akan dibuka di Kuantan, 84 di Pekan dan 31 di Rompin.

Selain itu, semua pegawai daerah diarah menguar-uarkan ancaman ribut berkenaan kepada penghulu serta jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung masing-masing dan melakukan persiapan yang perlu, katanya kepada pemberita, di sini malam tadi.


Muhammad Safian yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Pahang, berkata negeri itu juga mendapat bantuan daripada pasukan tentera darat yang berpangkalan di Johor yang akan digerakkan membantu mangsa apabila keadaan memerlukan.

Mereka yang kini ditempatkan di Kem 4 Briged, Kuantan akan menjadi pasukan pertama menghulur bantuan di kawasan terjejas ribut, katanya yang ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pahang.

Menurutnya, sebanyak tiga helikopter milik Tentera Udara Diraja Malaysia juga berada dalam keadaan bersedia untuk digerakkan bagi menghantar bantuan kepada mangsa termasuk melakukan penerbangan ihsan.

Bagi penduduk di pulau pula, Tentera Laut Diraja Malaysia memberi jaminan akan menghantar bantuan kepada yang terjejas, katanya.

Beliau turut menasihatkan pekerja pembalakan, perlombongan dan nelayan supaya tidak ke kawasan berisiko sepanjang ribut melanda.

Jabatan Meteorologi Malaysia dilapor meramalkan ribut Sonamu melanda negeri di Pantai Timur mulai hari ini dan bagi negeri Pahang ribut itu dijangka membadai dari 9 hingga 10 haribulan ini dengan kelajuan angin mencecah sehingga 40 kilometer sejam. – BERNAMA

Posting Komentar

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top