PENGLIBATAN Nelydia Senrose atau nama sebenarnya, Nik Zaris Nelydia Senrose Nik Sen sebagai seorang pelakon boleh dikira sudah agak lama.

Pelakon jelita mula dikenali sejak membintangi drama bersiri Spa Q kira-kira lima tahun lalu. Kemudian namanya seperti tenggelam timbul kerana agak jarang muncul di kaca televisyen.

Meskipun dia dilihat mempunyai bakat yang cukup besar dalam bidang lakonan, namun namanya masih kurang menjadi sebutan dan tidak terlalu menyinar berbanding beberapa pelakon wanita yang lain.


Ketika ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri Setia Hujung Nyawa yang diadakan di Sri Pentas, TV3, Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini, Nelydia mengakui dirinya masih belum lagi menyerlah.

“Kalau diikutkan penglibatan saya dalam bidang seni, lima tahun merupakan satu tempoh yang cukup lama. Lagipun peminat memang mengenali saya sejak membintangi drama Spa Q dahulu.

“Selepas drama tersebut saya ada berlakon dalam beberapa buah drama lain, tetapi ia kurang memberi impak kepada diri saya. Jadi, saya akui masih kurang popular, meskipun sudah lama menceburi bidang lakonan,” ujar anak ketiga daripada tujuh orang adik-beradik itu.

Selain itu, Nelydia turut menjelaskan antara faktor utama yang menyebabkan dirinya agak sukar untuk mengecap populariti kerana statusnya sebagai pelajar sekolah sebelum ini.

Ujarnya, disebabkan itu dia terpaksa menolak banyak tawaran lakonan yang diterima memandangkan terpaksa memberi sepenuh tumpuan terhadap persekolahannya.

“Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun lalu, saya sudah kembali aktif berlakon. Beberapa bulan kemudian saya kembali menyambung pelajaran semula menyebabkan saya kurang berlakon.



[PANAS!!]Masa Pakai Baju Tu Tak Nampak Pun Macam Jarang, Kata Neelofa
[WOW!!]Aksi Pelajar AF 5 yang terlampau



“Ketika ini saya cuma berlakon sewaktu cuti semester dan hanya menerima satu tawaran supaya senang untuk memberikan sepenuh tumpuan kepada lakonan,” jelas penuntut semester dua jurusan Psikologi dari Kolej Universiti SEGi, Kuala Lumpur.

Ditanya adakah dia tidak kisah apabila namanya sehingga kini masih kurang popular meskipun sudah lama bergelar pelakon, Nelydia menjelaskan dia tidak terlalu mementingkan populariti.

Menurutnya, dia menceburi bidang lakonan bukan kerana mahu popular, sebaliknya dia memang begitu minat berlakon dan menganggap lakonan merupakan sebahagian daripada jiwanya.

“Ada segelintir pihak yang beranggapan sekiranya mahu cepat popular mereka perlu dikaitkan dengan kisah kontroversi, tetapi rasanya dengan cara sebegitu ia tidak akan kekal lama.

“Saya lebih selesa dengan keadaan sekarang ini tanpa terpalit dengan sebarang cerita negatif. Tidak semestinya pelakon yang kurang popular jarang dapat tawaran berlakon kerana semuanya bergantung pada rezeki masing-masing,” ujarnya.

Lebih dewasa

Bagi penonton yang selalu melihat kemunculan Nelydia di kaca TV, pastinya mereka akan menyangka pelakon itu sudah berusia sekitar 24 atau 25 tahun.

Namun begitu, pada hakikatnya pelakon berkenaan baru sahaja mencecah 18 tahun.

“Sebenarnya saya tiada masalah membawakan karakter wanita yang berbeza daripada usia sebenar, malah saya juga pernah mendapat tawaran memegang watak sebagai seorang ibu,” ujarnya.

“Berkenaan dengan sesuatu watak saya memang tidak pernah terlalu memilih, tetapi saya hanya akan bersetuju sekiranya sudah yakin membawakan watak yang diberikan,” katanya.


BARISAN karyawan drama bersiri Setia Hujung Nyawa yang menampilkan Nelydia Senrose dan Amar Ashraf sebagai tonggak utama.

Bercerita lebih lanjut mengenai wataknya dalam Setia Hujung Nyawa pula, Nelydia memberitahu, dia diberikan kepercayaan memegang watak seorang gadis remaja yang baru tamat alam persekolahan.

Melakonkan peranan gadis bernama Ersalina, pelakon itu menyatakan watak yang dibawakannya itu berbeza dengan lakonannya sebelum ini iaitu seorang remaja yang sudah terlanjur dengan bekas kekasihnya.

“Dalam drama ini saya merupakan seorang remaja yang naif dan baru tamat sekolah, tetapi terpaksa berkahwin dengan lelaki yang tidak dikenali iaitu Zain Hakimi (lakonan Amar Ashraf).

“Walaupun saya menjadi seorang gadis remaja yang memang sesuai dengan usia sekarang, watak sebagai Ersalina agak berat dan memerlukan penghayatan yang mendalam,” jelasnya.

Mengenai gandingannya bersama Amar dalam drama berkenaan, pelakon itu berkata tidak sukar untuk mencari keserasian bersama dan mereka akan berbincang terlebih dahulu sebelum melakonkan babak yang membabitkan kedua-duanya.

“Sepanjang berlakon bersamanya memang tiada masalah besar yang timbul kerana kami selalu berkomunikasi, malah saya juga sudah menganggapnya seperti seorang abang,” ujarnya.-kosmo



Posting Komentar

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top