KONTINJEN Malaysia mencipta sejarah apabila muncul juara keseluruhan pada AUG 2012 yang berakhir di Laos semalam. Pada temasya tersebut Malaysia meraih 60 pingat emas, 48 perak dan 72 pingat gangsa.
VIENTIANE, Laos – Kontinjen Malaysia mencatat sejarah baharu pada temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2012 yang melabuhkan tirainya di Stadium Utama Kompleks Sukan Nasional Laos semalam.
Buat pertama kalinya, Malaysia dinobatkan sebagai juara keseluruhan dan lebih manis kejayaan itu diraih di luar negara.
Kontinjen negara yang dibarisi 306 atlet mengungguli carta pungutan pingat pada temasya tersebut dengan membawa pulang 60 pingat emas, 47 perak dan 72 gangsa.
Malaysia mengatasi pencabar terdekat, Vietnam yang menamatkan saingan di tempat kedua dengan 56 emas, 35 perak dan 28 gangsa manakala Thailand di tempat ketiga dengan pungutan 42 emas, 51 perak dan 55 gangsa.
Malaysia tidak pernah bergelar juara keseluruhan pada AUG yang dilangsungkan di luar negara sejak temasya ini diperkenalkan di Chiangmai, Thailand pada tahun 1981.
Kali terakhir Malaysia bergelar juara keseluruhan ialah ketika menjadi tuan rumah pada edisi ke-14 empat tahun lalu.
Kejayaan kali ini juga mengatasi pencapaian terbaik mereka pada edisi ke-15 di Chiangmai dua tahun lalu yang menyaksikan Malaysia menamatkan saingan di tempat ketiga dengan meraih 37 pingat emas, 34 perak dan 43 gangsa.
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sudah boleh menarik nafas lega apabila dasar yang diperkenalkan menerusi penubuhan Pusat Tumpuan Sukan dan Pusat Kecemerlangan Sukan di semua Institusi Pengajian Tinggi dua tahun lalu kini sudah menampakkan impak yang positif menerusi kejayaan kali ini.
Pada temasya kali ini, skuad renang paling menyerlah apabila menyumbangkan pingat terbanyak buat kontinjen Malaysia sekaligus bergelar juara keseluruhan sepanjang empat hari acara itu dipertandingkan di Pusat Akuatik Kompleks Sukan Nasional Laos.
Skuad renang cemerlang apabila menyumbang 21 emas.
Acara terjun juga tidak menghampakan apabila menyapu bersih kesemua empat pingat emas yang ditawarkan dalam acara tersebut.
Atlet-atlet olahraga turut mencuri tumpuan apabila berjaya melepasi sasaran yang ditetapkan dengan meraih 11 emas, 10 perak dan enam gangsa.
Kejayaan itu menyaksikan skuad olahraga negara melepasi sasaran sembilan emas yang ditetapkan sebelum bermulanya temasya ini.
Majlis penutup AUG ke-16 semalam telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Laos, Asang Laoli.
Majlis kemudiannya tertumpu kepada penyerahan bendera kejohanan yang diserahkan oleh Menteri Pelajaran dan Sukan Laos, Dr. Phankham Viphavanh kepada Presiden Majlis Sukan Universiti ASEAN, Prof. Datuk Dr. Kassim Md. Mansor.
Dr. Kassim kemudian menyerahkan bendera itu kepada Pengerusi Jawatankuasa Sukan Selatan Indonesia, Muddai Madang.
Indonesia bakal menjadi tuan rumah edisi ke-17 AUG pada 2014.-kosmo
Posting Komentar
Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda