Gambar hiasan dari google


BUKIT MERTAJAM – Seorang pekerja kedai makan warga Indonesia mendakwa dia dirogol tiga anggota polis di sebuah balai polis dekat sini semalam.

Mangsa berusia 25 tahun mendakwa ditahan oleh tiga orang anggota polis berusia lingkungan 20-an sehingga 30-an pada jam 6.20 pagi di Perai dan kemudian dibawa ke balai polis.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abd Rahim Hanafi yang dihubungi berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas mengikut lunas perundangan jika benar dakwaan itu.


Menurut mangsa, ketika ditahan dia berada dalam kereta sewa bersama seorang pemandu teksi tempatan selepas menghantar seorang rakan perempuannya yang tinggal di kawasan itu .

“Tidak lama selepas itu, sebuah kereta peronda polis jenis proton Wira menahan kereta yang kami naiki dan dua anggota polis yang memakai uniform polis meminta kami menunjukkan kad pengenalan.

“Ketika itu, saya hanya membawa salinan pasport. Jadi, anggota polis itu tidak mahu menerima salinan pasport dan mengatakan akan membawa kami ke balai polis.

“Bagaimanapun, saya merayu kepada dua anggota polis ini dan meminta mereka melepaskan pemandu teksi yang ketika itu digari,” katanya yang ditemui di Pejabat MCA Bukit Mertajam, pagi tadi.

Turut hadir, Penyelaras Barisan Nasional (BN) Bukit Mertajam, Lau Chiek Tuan dan Pengerusi Wanita MCA Bukit Mertajam, Goh Swee Gim.

Mangsa berkata, selepas pemandu teksi dilepaskan, dia telah dibawa oleh tiga anggota polis tadi ke balai.
Menurutnya, sebelum dirogol beg tangannya digeledah dan dia diberitahu akan dimasukkan ke lokap.

“Saya merayu sekali lagi supaya mereka melepaskan saya dan bertanya apa yang mereka mahukan. Setelah memberitahu saya tidak mempunyai wang, seorang anggota polis meminta saya melayan nafsu mereka.
“Kerana takut, saya terpaksa mengikut kehendak mereka dan saya dirogol bergilir-gilir oleh mereka di dalam sebuah bilik di kawasan balai polis,” katanya.

Menurut mangsa, dia kemudiannya dihantar pulang ke Taman Impian Alma pada sekitar jam 7.50 pagi dengan menaiki kereta milik salah seorang anggota polis.
Malah, katanya, dia turut diugut supaya menyembunyikan hal itu.

Mangsa yang berasal dari Jawa Tengah dan tinggal di Malaysia sejak hampir dua tahun lalu terus membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah, pada jam 3 petang semalam.
Sementara itu, Chiek Tuan berkata, kes seperti ini menjejaskan imej polis yang selama ini dipandang baik melakukan tugas menjaga keselamatan negara.

“Kes ini tidak sepatutnya berlaku di kalangan anggota polis. Pihak polis sewajarnya memandang serius kes seperti ini dan mengambil tindakan tegas ke atasnya,” katanya.-sinar

Posting Komentar

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top