Gambar ihsan dari google


MIRI: Sekumpulan perompak bersenjatakan parang dan senapang patah merompak wang gaji pekerja sebuah syarikat kontraktor berjumlah RM1.3 juta dalam tempoh dua minit dalam kejadian pada 3.10 petang Selasa.

Ketua Polis Daerah (KPD) Marudi DSP Abu Bakar Mokhtar berkata ketika kejadian, kenderaan pacuan empat roda itu yang dinaiki empat pekerja syarikat kontraktor berkenaan dalam perjalanan dari Bintulu ke Lapok Marudi di Miri.


"Lokasi mereka dirompak ialah tujuh kilometer dari simpang Beluru ke Lapok," katanya kepada Bernama di sini Selasa.

Abu Bakar berkata sewaktu dalam perjalanan kenderaan Hilux yang dinaiki pekerja syarikat kontraktor tersebut tiba-tiba dihimpit oleh sebuah Hilux.

Abu Bakar berkata perompak berkenaan yang bertopeng dipercayai enam hingga tujuh orang terus memecah salah satu cermin kenderaan pacuan empat roda itu, dan terus mengambil wang gaji tersebut dan memecut melarikan diri.

"Setakat ini identiti suspek sama ada rakyat tempatan atau warga asing sukar dipastikan kerana sewaktu rompakan, tiada komunikasi antara mangsa dengan perompak mahupun antara sesama perompak sendiri," katanya.

Beliau berkata kesemua pekerja syarikat berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan dan kini polis sedang menjalankan siasatan lanjut kes tersebut.

Bernama difahamkan kontraktor tersebut terlibat dalam projek Saluran Paip Gas Sabah-Sarawak (SSGP) Petronas yang menelan belanja RM4.6 bilion.

Saluran paip sejauh 512km itu dari Kimanis di Sabah ke kompleks gas cecair asli di Bintulu akan siap penghujung 2013.

SSGP ialah sebahagian daripada Projek Bersepadu Minyak dan Gas Petronas bagi mendapatkan sumber minyak dan gas dari kawasan di Sabah dan Sarawak. - BERNAMA

Posting Komentar

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top