Pemain Kedah, Khyril Muhymeen yang berpeluang disenaraikan dalam kesebelasan utama Harimau Malaya telah membuka jaringan pada minit ke-23 melalui tandukan hasil hantaran sepakan sudut oleh Safiq Rahim.

Walaubagaimanapun, Bangladesh telah menjaringkan gol penyamaan melalui sepakan penalti Md Jahid Hasan pada minit ke-83 selepas Irwan Fadzli Idrus yang dimasukkan mengganti Zubir Azmi pada minit ke-75 mengasari Mitchun Chowdry dalam kotak penalti.


Malaysia yang seri 1-1 dengan Hong Kong pada perlawanan persahabatan sebelum ini telah memulakan perlawanan dengan baik dengan percubaan oleh Norshahrul Idlan Talaha seawal minit ke-2.
Tujuh minit selepas itu, S.Kunalan melakukan hantaran cantik dari kiri kepada Khyril dalam kotak penalti namun tandukannya tersasar.

Kehadiran Khyril dalam skuad memberikan impak positif kepada pasukan dengan membuka ruang dan memberi peluang untuk barisan serangan Malaysia mencipta jaringan.

Usaha penyerang Kedah itu akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya menanduk masuk hantaran ketua pasukan Harimau Malaya, Safiq Rahim dari sepakan sudut pada minit ke-23.

Pasukan tuan rumah terus melancarkan serangan bertubi-tubi namun tidak berjaya membolosi gawang gol Bangladesh dan keputusan separuh masa pertama kekal 1-0 berpihak kepada Malaysia.

Jurulatih Malaysia, Datuk K.Rajagobal melakukan empat perubahan bermulanya separuh masa kedua dengan menggantikan Safee Sali dengan Zaquan Adha, Hazwan Bakri menggantikan S.Kunalan, Safiq Rahim diganti oleh Shakir Shaari dan Baddrol Bakhtiar masuk menggantikan Norshahrul Idlan.

Walaupun kehadiran pasukan Malaysia kurang memuaskan di Stadium Bukit Jalil, namun sorakan dari Ultras Malaya terus bergema di stadium memberi sokongan padu kepada pemain.

Aksi Malaysia pada separuh kedua kelihatan merudum dan Bangladesh terus berusaha untuk mendapatkan gol penyamaan.

Sembilan minit masuk separuh masa kedua, Zaquan Adha telah mengalami kecederaan dan terpaksa diusung keluar memaksa Rajagobal menggantikannya dengan Fakri Saarani.

Pada minit ke-68, Baddrol Bakhtiar mendapat peluang terbaik untuk menggandakan jaringan Malaysia namun rembatannya dari dalam kotak penalti ditangkap kemas oleh penjaga gol Bangladesh.
10 minit kemudian, Pranotosh Kumer Das dilayangkan kad kuning kedua selepas bertengkar dengan pengadil dan seterusnya dibuang padang.

Bangladesh yang beraksi dengan 10 pemain telah diberikan sepakan penalti pada minit ke-83 selepas Irwan Fadzli mengasari Mitchun Chowdry dalam kotak penalti.

Md Jahid menyempurnakan sepakan penalti itu dengan rembatan ke kiri penjaga gol Malaysia, Farizal Marlias dan menyamakan kedudukan 1-1.

Harimau Malaya bagaimanapun tidak putus asa dan cuba untuk bangkit selepas jaringan penalti itu dengan dua percubaan oleh Baddrol pada saat-saat akhir perlawanan yang kedua-duanya dihalang penjaga gol Bangladesh, Mamun Khan.

Dalam enam perlawanan persahabatan persiapan bagi Piala AFF Suzuki, Malaysia telah menang dua kali, tewas dua kali dan juga seri dua kali.

Harimau Malaya akan bertemu Singapura pada perlawanan pembukaan Piala AFF Suzuki pada Ahad ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Malaysia XI: Farizal Marlias (GK), Bunyamin Umar, Aidil Zafuan, Fadhli Shas, Zubir Azmi, Khyril Muhymeen, Safiq Rahim (C), Amar Rohidan, S. Kunanlan, Norshahrul Idlan, Safee Sali.-Espnstar

Posting Komentar

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top