Kulit depan runut bunyi filem terbaru James Bond, Skyfall nyanyian Adele.
DENGAN berbaki dua bulan sebelum berakhirnya tahun ini, banyak filem menarik Hollywood yang bakal menjengah pawagam sempena cuti perayaan Krimas hujung tahun ini.

Sebanyak 10 buah filem yang paling ditunggu-tunggu peminat mengikut hasil kajian secara atas talian yang telah dilakukan.


Senarai di bawah ini merupakan 10 filem yang paling dinantikan mengikut kajian yang dilakukan syarikat enjin carian Yahoo! (Semua tarikh adalah mengikut tarikh tayangan di Amerika Syarikat).

10.  Rise of the Guardians (21 November)

Filem ini berkisarkan daripada buku bersiri The Guardians of Childhood.  Filem animasi terbitan Dream Works memaparkan watak Justice League yang dinamakan Jack Frost sumbangan suara oleh Chris Pine, Santa Claus yang bertatu (Alec Baldwin),
Easter Bunny (Hugh Jackman), Pari-pari Gigi (Isla Fisher) dan seorang lelaki pasir. Ikon-ikon ini kemudiannya bersatu untuk menentang watak jahat Pitch the Boogeyman (Jude Law), yang berniat untuk menakluk dunia ini melalui rancangan jahatnya.

Jangan terlalu berharap yang jalan filem ini serupa dengan buku tetapi filem ini menerapkan nilai-nilai kekeluargaan yang kuat, yang mampu menarik minat 42 peratus kanak-kanak untuk menontonnya.

9. The Man with the Iron Fists (2 November)

Filem kung fu mula mencipta nama di Amerika pada 1970, dan biasanya penggambaran dilakukan di Chinatowns dan kawasan bandar di mana kebanyakan orang kulit hitam menetap. Pemenang penerbit hip hop dalam Anugerah Grammy, RZA menulis, mengarah dan membintangi filem aksi mempertahankan diri mengenai seorang pakar membuat senjata yang bernama Blacksmith yang mana dia menyertai pergerakan untuk melindungi perkampungan Cina abad ke-19. Filem aksi ini menampilkan Russell Crowe, Lucy Liu, artis seni mempertahankan diri Cung Le.  The Man with the Iron Fists dijangka menarik perhatian jejaka lasak untuk menontonnya.


8.  Life of Pi (21 November)
Pengarah yang terkenal dengan dengan filem Sense and Sensibility dan Brokeback Mountain, Ang Lee kini kembali dengan filem mengenai anak lelaki kepada seorang lelaki India yang memiliki sebuah zoo yang terperangkap dalam bot penyelamat dengan seekor harimau.  Buku kisah ini turut berdepan dengan pelbagai penolakan oleh syarikat penerbitan sebelum ianya memenangi anugerah Man Booker Prize for Fiction.  Lee sendiri mendefinisikan perjalanan hidupnya sebagai seorang pengarah selama empat tahun ini sebagai ‘memenatkan’ dan filem ini merupakan filem yang paling susah untuk dihasilkan olehnya setakat ini.  Berdasarkan kajian, filem ini mampu menarik perhatian penonton yang berumur 13 hingga 54 tahun dengan 52 peratus daripadanya terdiri dari kaum wanita dan selebihnya kaum lelaki.  Filem ini juga sesuai untuk tontonan seisi keluarga.


7. Red Dawn (21 November)
Filem yang dibikin semula daripada filem asalnya yang diterbitkan pada 1984, pernah dibintangi Patrick Swayze, C. Thomas Howell, Charlie Sheen, Lea Thompson dan Jennifer Grey dan kali ini menampilkan pelakon generasi muda seperti Chris Hemsworth, Josh Pech, Josh Hutcherson, Adrianne Palicki dan Isabel Lucas. Filem ini berkisarkan kehidupan selepas serangan 11 September.  Idea pengarahnya yang menggabungkan adegan remaja lelaki untuk mempertahankan hidup dan kebebasan adalah merupakan intipati utama filem ini yang mampu menarik golongan remaja lelaki untuk menontonnya nanti.


6. Les Miserables (25 Disember)
Filem yang diadaptasi daripada novel Victor Hugo ini sudah acap kali dibikin pembikin filem seperti di Perancis, Korea, Jepun dan India. Kehadiran banyak pelakon popular dalam filem ini seperti Hugh Jackman, Russell Crowe, Anne Hathaway, Amanda Seyfried, Sacha Baron Cohen dan Helena Bonham Carter mampu menyuntik elemen komersial yang diingini.  Pengarahnya, Tom Hooper pernah muncul cemerlang dalam filem The King’s Speech yang pernah memenangi Anugerah Oscar sebelum ini.  Daripada kajian yang dilakukan, 62 peratus responden wanita berumur 11 hingga 44 tahun akan terhibur dengan filem ini.


5. Wreck-It Ralph (2 November)
Filem terbitan Walt Disney dalam format 3D ini mengimbau nostalgia sejarah sebuah tempat keraian dengan Ralph (suara oleh John C. Reilly).  Filem animasi ini menumpukan kepada penonton kanak-kanak berumur bawah 12 tahun.  Filem ini menampilkan banyak alat permainan serta barang keperluan parti yang pastinya mampu menarik perhatian anak anda!


4. The Hobbit: An Unexpected Journey (14 Disember)
Pengarahnya, Peter Jackson setakat ini sudah menghasilkan tiga filem daripada karya penulis J.R.R Tolkien.  Filem ketiga daripada The Lord of the Rings ini bakal menemui peminatnya seiring dengan ulang tahun ke-75 buku terbabit. Filem ini dibintangi Martin Freeman sebagai Bilbo Baggins dan seorang ahli sihir yang bernama Gandolf lakonan Ian McKellen.  Dua lagi filem sambungannya akan keluar pada Disember 2013 dan Julai 2014.  Peminat di Texas, Virginia dan California nampaknya menunjukkan minat yang mendalam terhadap kemunculan filem ini jika dibandingkan di negeri-negeri lain di Amerika.


3. Lincoln (16 November)
Penerbitan filem ini tiada kena mengena dengan pilihan raya Amerika yang akan berlaku 6 November ini. Filem arahan pengarah tersohor, Steven Spielberg mengetengahkan pelakon Daniel Day-Lewis untuk membawakan peranan sebagai presiden Amerika ke-16 itu. Filem bergenre biopik ini turut menampilkan Sally Fields, Joseph Gordon-Levitt, David Stratharirn dan Tommy Lee Jones. Filem ini juga mendapat respons yang positif daripada penonton selepas kemunculan filem Abraham Lincoln A Vampire Hunter sebelum ini.


2. Skyfall (8 November)
Filem terbaru siri francais James Bond tetap mampu meraih perhatian orang ramai apabila berjaya mencatatkan kutipan sebanyak RM300 juta pada hari pertama tayangannya di seluruh dunia baru-baru ini. Skyfall merupakan filem ketiga Bond yang dibintangi oleh Daniel Craig selepas kemunculannya dalam Casino Royale dan Quantum of Solace.  File mini turut menampilkan runut bunyi berjudul Skyfall nyanyian penyanyi berbakat besar, Adele. Skyfall seperti biasa tidak ketinggalan menampilkan dua gadis Bond lakonan Berenice Marlohe dan Naomie Harris.

1.The Twilight Saga: Breaking Dawn, Part 2 (15 November)
Filem kelima mengenai puntianak kacak lakonan Robert Pattinson dan Kristen Stewart menceritakan mengenai kehidupan rumah tangga mereka selepas berkahwin dan memiliki seorang anak perempuan, Renesmee.  Sebelum muncul di pawagam pada bulan ini, terlebih dulu, Julai lalu, kedua hero dan heroinnya yang memang bercinta dalam alam realiti mengalami perpisahan selepas Stewart mengaku curang dengan pengarah filem Snow White and the Hunstman, Rupert Sanders.  Tetapi mereka kini dilaporkan sudah berbaik dan bercinta semula. Seperti di Amerika, peminat di Malaysia juga sudah tidak sabar menantikan filem ini yang mendapat sambutan hangat di kalangan penggemarnya. Filem ini dijangka mendapat sambutan di kalangan peminat wanita yang setia dengan watak Edward Cullen dan Jacob Black lakonan bekas kekasih kepada Taylor Swift, Taylor Lautner yang menjadi idaman mereka.

Ada lagi satu filem iaitu Zero Dark Thirty (19 Disember).  Filem ini mengisahkan kematian Osama bin Laden.  Bakal menemui penonton di New York dan Los Angeles pada 19 Disember ini dan Januari depan di semua pawagam seluruh Amerika. Filem ini juga dilihat bakal mendapat sambutan yang menggalakkan daripada hasil kajian yang dijalankan.-sinar harian

* Sumber: chicagotribune.com dan yahoo.com

Posting Komentar

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top