Ziela memberitahu kehadiran anak angkatnya, Ibrahim telah melengkapkan dirinya.
PETALING JAYA: Penerbit drama Ziela Jalil menjelaskan tidak berasa kekok untuk menjaga anak angkatnya Ibrahim Junit Abdullah yang berusia 10 bulan walaupun sudah 17 tahun tidak mempunyai anak kecil.
Malah wanita berusia 42 tahun ini memberitahu, dia juga berjaya menjadi ibu susuan kepada Ibrahim melalui proses tertentu sebagai memenuhi syariat dalam Islam.
“Alhamdulillah, saya sudah pun berhenti daripada memberinya susu badan selepas dia berusia 10 bulan. Saya menganggap Ibrahim seperti anak sendiri dan berjaya memberi kegembiraan dalam keluarga saya dengan kehadirannya,” kata Ziela kepada mStar Online.
Menurut Ziela, kehadiran Ibrahim telah memenuhi ruang kosong dalam dirinya selepas pemergian arwah suami, Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayub pada tahun 2008.
Katanya, dua anak hasil perkahwinannya dengan Megat Junid iaitu Puteri Julia Nabilah, 20, dan Megat Jufri Nasrullah, 18, sudah pun besar dan boleh menguruskan diri mereka sendiri.
“Anak-anak saya yang lain dah pun besar dan kehadiran Ibrahim ternyata memberikan sinar dan pelengkap kepada hidup saya," katanya.
Ziela (dua dari kanan) mengakui teruja apabila bakal muncul buat pertama kali sebagai pengacara program bual bicara 'Primadona'.
Sementara itu bercerita tentang penglibatannya dalam program bual bicara sebagai pengacara Primadona Ziela berkata, faktor pertambahan berat badan membuatkan dia pada mulanya berasa tidak selesa untuk menyertai rancangan itu.
Katanya dia menerima tawaran tersebut memandangkan ia adalah peluang pertama kali untuk bergelar pengacara bergandingan dengan Raja Azura, Erra Fazira dan Rozita Che Wan. Ujarnya, walaupun berasa kekok dan gemuruh tetapi dia bernasib baik kerana rakan pengacara yang lain banyak membantu dari segi penyampaian dan menghafal skrip sebelum memulakan rakaman.
"Raja Azura seorang yang sangat berpengalaman dalam bidang pengacaraan serta penyampaian radio dan dia sangat bermurah hati untuk memberikan tip kepada saya agar tampak bersahaja di hadapan kamera," katanya.
Primadona akan disiarkan pada 2 November depan setiap hari Jumaat pukul dua petang di saluran Astro Prima. -mstar
Posting Komentar
Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda