SEDIA...sebahagian peserta Konvoi Gegar Final Piala Malaysia dari Kelab Perodua Viva, Myvi Kelantan bersedia ke Stadium Shah Alam.


KOTA BHARU: Puluhan ribu penyokong The Red Warriors (TRW) mara ke Stadium Shah Alam, Selangor, bermula kelmarin bagi ‘menyentap’ semangat penyokong Angkatan Tentera Malaysia (ATM), sekali gus membantu Kelantan menggempur ATM dalam perlawanan akhir Piala Malaysia malam ini.

Dianggarkan 200 bas, ribuan kereta termasuk ratusan kereta yang berkonvoi, selain ribuan lagi peminat menggunakan laluan udara bakal memeriahkan Stadium Shah Alam dengan paluan gendang dan ungkapan kata-kata semangat ‘Gomo Kelate Gomo’. Pengerusi Kelab Penyokong Rasmi Bola Sepak Kelantan, Mohd Yahya Jamada Ali berkata, sebanyak 100 bas disediakan pihaknya bagi membawa penyokong ke Stadium Shah Alam untuk memberi sokongan padu kepada TRW.


Katanya, sebanyak 100 bas lagi yang bukan berdaftar di bawah kelabnya turut membawa penyokong Kelantan ke Shah Alam.

“Saya harap penyokong Kelantan berhemah ketika memandu di jalan raya dan merancang perjalanan bagi memastikan mereka selamat tiba dan pulang.

“Saya juga mahu kehadiran penyokong Kelantan di Stadium Shah Alam bagi menyemarakkan sokongan padu kepada barisan pemain bagi memastikan TRW mencapai kejayaan membawa pulang piala berprestij itu,” katanya.


Bagi Pengerusi Kelab Perodua Viva Myvi Kelantan, Tazmir Arief Zahari, 30, pihaknya menganjurkan ‘Konvoi Gegar Final Piala Malaysia’ membabitkan tiga kelab pemilik kereta di negeri ini bagi memberi semangat kepada TRW di Stadium Shah Alam.

Katanya, sebanyak 100 Viva dan Myvi menyertai konvoi berkenaan dan berlepas kira-kira jam 10 pagi semalam sebelum dijangka tiba selewat-lewatnya jam 11 malam.

“Kami tidak mahu ketinggalan memberi sokongan kepada pasukan kebanggaan kami, malah berharap TRW berjaya membawa pulang Piala Malaysia untuk kali kedua.

“Kami akan berhenti di beberapa kawasan seperti Gua Musang, malah akan mengibarkan bendera Kelantan sepanjang perjalanan sebagai tanda kebanggaan terhadap TRW,” katanya ketika ditemui sebelum pelepasan konvoi di Institut Pemanduan Berhemat Yakin Pandu Sdn Bhd, Pengkalan Chepa, di sini, semalam.

Konvoi itu dilepaskan Pengarah Eksekutif, Institut Pemanduan Berhemat Yakin Pandu Sdn Bhd, Mohamad Firdaus Muhiddin.

Dua kelab yang turut menyertai konvoi berkenaan ialah Kelab Honda Mystream dan Kelab Penyokong The Red Warriors Yakin Pandu.

Mohamad Firdaus berkata, pihak Yakin Pandu juga tidak ketinggalan memeriahkan final Piala Malaysia tahun ini dengan menghantar kakitangannya menaiki 30 kenderaan untuk berarak bersama rombongan Kelab Perodua Viva Myvi Kelantan.

“Ini tanda sokongan Yakin Pandu dan kami mengharapkan TRW melakukan yang terbaik untuk mengharumkan nama Kelantan, malah kami semua tidak sabar menyaksikan perlawanan akhir esok (malam ini), “ katanya.

Sementara itu Presiden Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim (Kelate.net), Mahizi Mahmood yakin pengalaman yang ada pada TRW melebihi pasukan ATM sekali gus menjadi penanda aras TRW mampu membenam ATM. “Kelantan juga mempunyai pengalaman beraksi di pentas antarabangsa sehingga berjaya ke suku akhir Piala AFC. Pada tahun ini saja Kelantan sudah bermain 58 perlawanan di dalam dan luar negara,” katanya. “Kekuatan pasukan juga lebih terserlah apabila majoriti pemain terdiri pemain kelahiran negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Kelab Penyokong Wakaf Che Yeh, Mohd Asari Saufi turut menyuarakan keyakinan Kelantan mampu sekali lagi mendakap Piala Malaysia. -hmetro

Posting Komentar

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top