Bolehkah Bersolat Dalam Keadaan Tidak Ikhlas?
Isu ini ditulis di mana penulis pernah berbicara dengan seorang kawannya yang mengatakan: ” Buat apa, kalau solat kerana dipaksa, tidak ada rasa ikhlas dalam diri? Sia-sia.”
Penulis hanya diam mendengar, lantas dia menyambung lagi, ” Tak guna rotan dan marah budak-budak untuk suruh solat, apa gunanya solat itu kalau ada unsur paksaan.”
Mungkin kerana jahilnya penulis pada waktu itu, maka terlintas di fikiran, ” Kalau tiada keikhlasan dalam solat, sia-sialah solat itu.” Ikhlas merupakan roh dalam ibadah dan juga titik permulaan kesempurnaan sesuatu ibadah yang dilakukan.
Jadi isu perkara wajib yang dituntut syarak seperti solat menentang ketidakikhlasan merupakan satu perkara besar yang perlu didedahkan kepada mereka yang jahil tentang tuntutan yang wajib dalam Islam yang tidak sepatutnya dipandang remeh.
Berdasarkan buku bertajuk “Beduk Diketuk” karya Pahrol Mohd Juoi, beliau ada mengatakan di dalam buku tersebut untuk menjadi baik perlulah memperbaiki solat, dan orang yang baik adalah orang yang melakukan solat tetapi paling penting untuk menjadi baik perlulah solat.
Dapatlah disimpulkan bahawa persoalan sama ada ikhlas ataupun tidak , jangan jadikan ia alasan untuk tidak melaksanakan solat itu.
Suatu kisah diriwayatkan bahawa Abu Hurairah telah bertanya kepada Nabi Muhammad S.A.W tentang orang yang mengerjakan solat tetapi masih mencuri. Abu Hurairah bertanya bagaimana keadaan orang yang sedemikian? Rasullah S.A.W menegaskan, solat orang itu lambat laun akan menyebabkan dia berhenti mencuri.
Melalui kisah ini, jelas orang yang mencuri hatinya kotor dan solatnya sia-sia jika dia masih mencuri, tetapi Rasullah S.A.W menyatakan walau seteruk mana pun seseorang itu, solat mampu mengubahnya.
Justeru paksaan bukanlah bermakna sia-sia ibadah yang dilakukan, tetapi sebagai titik pendorong kepada kebaikan.
Paksaan melaksanakan kebaikan akan membuahkan hasil daripada paksaan dalam melakukan kejahatan. Sesetengah perkara perlu dipaksa dalam melaksanakan sesuatu perbuatan. Tidak perlu kepada ikhlas dalam diri. Mungkin ini dinamakan hipokrit, tetapi biarlah hipokrit kena pada gayanya.
Seseorang mempertikaikan tentang keikhlasan, ia boleh mengundang keikhlasan yang menyimpang di mana ramai orang menganggap bahawa tiada amalan tanpa keikhlasan seperti kata-kata yang sering didengar;”
“Tiada guna amalan yang kita lakukan jika tidak ikhlas! Aku nak solat ke tak nak solat ke itu hak aku dengan Allah” atau
“Buat apa memakai tudung kalau hati tidak ikhlas? Baik tunggu hati benar-benar ikhlas barulah memakai tudung.”
Inilah realiti masyarakat yang jahil memahami antara tuntutan syarak dan ikhlas. Malang sungguh hidup mereka yang merasakan dirinya pandai dalam hal-hal agama sedangkan mereka kadang-kadang sesat dalam agama bukan kerana kebodohannya, tetapi kerana terasa dirinya pandai menggunakan akal memahami maksud firman Ilahi.
Apalah guna mendabik dada tentang amalan ikhlas jika suruhan Allah diingkari?
Adakah Allah pernah menyebut bahawa sesiapa yang merasa dirinya tidak ikhlas maka tidak perlu menunaikan perintah-Nya yang wajib seperti solat, berpuasa, menutup aurat dan sebagainya?
Sudah tentu tidak! Justeru itu dari manakah datangnya kefahaman mereka bahawa jika tidak ikhlas, kita tidak perlu menunaikan kewajipan yang telah Allah tetapkan?
Ia datang dari rasa kebijaksanaan mereka memikirkan idea logik tentang agama. Padahal mereka sebenarnya diperbodohkan oleh syaitan untuk menyesatkan diri mereka semata-mata.
Ikhlas adalah ibarat semut hitam yang berjalan di atas batu yang hitam di dalam gua yang kelam dan di malam yang gelap gelita.
Firman Allah S.W.T yang bermaksud;
“Katakanlah: “Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam”
(Surah al-An’am 162)
Ikhlas adalah ibarat semut hitam yang berjalan di atas batu yang hitam di dalam gua yang kelam dan di malam yang gelap gelita. Dalam ikhlas tidak ada kepentingan diri. Semuanya kerana Allah S.W.T. Tiada sesiapa pun yang dapat mengatakan dirinya itu ‘sudah ikhlas’ kerana ikhlas itu hanya Allah sahaja yang mengetahuinya.
Kesimpulannya, didiklah diri kita daripada membuat sesuatu dalam paksaan menjadi rela keranaNya. Jika belum rasa ikhlas menunaikannya, jangan terus ditinggalkan ibadah itu. Yakinlah, amalan yang padanya dimulakan dengan rasa terpaksa namun tetap dilakukan kerana tidak ingin mengundang dosa itu lebih baik daripada meninggalkan terus perkara yang wajib ke atas dirinya.-melayukini
Posting Komentar
Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda