Laporan akhbar ini semalam berkenaan Balkis yang meninggal dunia dipercayai akibat didera teman lelaki ibunya.


BATU PAHAT – “Wak tidak akan maafkan dia sampai mati,” demikian kata datuk kepada Nur Irisyafida Balkis, bayi berusia lapan bulan yang meninggal dunia dua hari lepas selepas dipercayai didera oleh teman lelaki ibunya.

Balkis menemui ajal setelah tidak sedarkan diri selama enam hari sejak Khamis minggu lepas kerana mengalami tiga keretakan di tempurung kepala, patah tangan kanan dan kaki kiri.



Wak Ashak, 71, berkata, dia amat terasa dengan kehilangan cucu kesayangannya itu kerana telah menjaga arwah sejak usianya dua bulan.

Menurutnya, tambahan pula ibu mangsa yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik tinggal serumah dengannya.

“Balkis sudah pandai panggil Wak dengan panggilan apak. Dia jantung hati kami sekeluarga dan sentiasa menceriakan rumah ini.

“Bila Wak hendak keluar, Balkis melonjak-lonjak mahu ikut dan bila Wak pulang begitu juga, seolah-olah menyambut kepulangan Wak. Bila makan, mulut Balkis terkumat-kamit mahu makan apa yang dijamah kami. Tetapi itu semua hanya tinggal kenangan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Kelambu, Peserai, semalam.

Hanya mampu mengalirkan air mata, Wak Ashak berkata, dia berdoa agar orang yang menyebabkan kematian cucunya mendapat pengadilan sewajarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, suspek yang berusia 34 tahun disambung reman hingga Selasa ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. -sinar

Posting Komentar

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top