PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara Diana Amir berkata keputusan merahsiakan majlis pertunangannya baru-baru ini adalah mengikut syariat Islam yang tidak mengesyorkannya untuk ia dihebohkan melainkan jika berkahwin.
Diana atau nama sebenarnya Nurdiyana Amir Hashim, 26, berkata, dia berharap semua pihak menghormati keputusan itu dan tidak membuat sebarang spekulasi terhadap dia dan tunangnya Mohd Habib Bullah A. Rahman iaitu seorang petugas di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok, Kedah.
“Dalam Islam sendiri tidak menggalakkan kita menghebohkan majlis bertunang atau fasa bercinta kerana ia adalah perjanjian awal antara pasangan kekasih.
“Lainlah kalau majlis perkahwinan, memang ia perlu dihebahkan untuk mengelakkan fitnah.
“Sebenarnya tada jaminan lagi saya pasti akan berkahwin dengan dia (Habib). Atas sebab itu, saya hanya adakan majlis secara tertutup untuk keluarga kedua-dua belah pihak sahaja,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Isnin.
Difahamkan, Habib yang berusia 20-an itu bertugas di Jabatan Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Merbok dan sedang mengikuti pengajian di peringkat Sarjana.
Mereka yang berkenalan menerusi seorang teman Diana kurang setahun yang lalu melangsungkan pertunangan di kediaman aktres itu di sini, pada baru-baru ini.
Pelakon filem Salam Cinta itu berkata, dia enggan mencanangkan mengenai hubungannya dengan Habib demi menghormati keselesaan tunangnya itu yang tidak biasa dengan selok-belok dunia hiburan.
“Saya kasihan kepada dia kerana latar belakang dan profesion dalam bidang pendidikan adalah bertentangan dengan dunia hiburan yang penuh kontroversi ini.
“Demi menghormati keselesaan dia dan keluarga, saya tidak mahu kecoh-kecoh mengenai majlis itu atau hubungan kami.
“Cukuplah mana yang sudah tahu, saya tidak menafikannya tapi tidak perlu saya hendak bercerita panjang lebar mengenai perkara ini,” luahnya.
Diana berkata, dia dan Habib masih belum membuat sebarang ketetapan mengenai perkahwinan kerana mereka mahu mengukuhkan kewangan dan kerjaya masing-masing terlebih dahulu.
“Pada peringkat ini, kami mahu lebih mengenali antara satu sama lain. Belum ada perancangan untuk berkahwin dalam masa terdekat, biarlah kami kukuhkan kewangan dahulu,” jelasnya.
Mengenai kerjaya, Diana berkata, jadualnya kini terisi dengan komitmen sebagai penceramah motivasi untuk para pelajar di merata sekolah dan mengacarakan majlis-majlis korporat.
“Tumpuan sekarang adalah pada komitmen sebagai penceramah motivasi dan pengacara.
“Insya-Allah pada awal Oktober depan, saya akan terlibat dalam penggambaran sebuah telefilem untuk Astro Oasis,” kongsinya. -mstaronline
Posting Komentar
Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda