Budak 3 tahun mati kerana pendarahan | KUALA TERENGGANU - Polis masih belum dapat mengesahkan punca kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang meninggal dunia dengan beberapa kecederaan parah dan lebam di dahi, pipi, belakang badan dan bawah mata kanan, di Kampung Seberang Jertih, Besut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan kelmarin mendapati mangsa, Puteri Nur Qristina Balqis Abdullah mengalami pendarahan di tempurung kepala dan abdomen dipercayai akibat terkena objek tumpul.

“Malah, doktor memaklumkan kecederaan dialami mangsa bukan saja boleh terjadi akibat dipukul tetapi kerana terjatuh. Bagaimanapun, siasatan dijalankan mendapati terdapat unsur pengabaian dan kecuaian ibu mangsa.

“Berdasarkan soal siasat, seorang saksi ada meminta ibu mangsa menghantar anaknya ke hospital selepas jatuh pada Khamis lalu tetapi wanita terbabit hanya berbuat demikian pada Jumaat lalu selepas mendapati mangsa semakin lemah dan tidak sedarkan diri,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, semalam.

Manoharan berkata, polis akan menahan ibu mangsa sebaik selesai urusan pengebumian mangsa di Pasir Mas, Kelantan semalam bagi membantu siasatan.

“Polis tidak menolak kemungkinan mangsa mungkin didera tetapi masih terlalu awal untuk mengaitkan kematiannya akibat didera kerana siasatan awal tidak dapat mengesahkan punca kematian mangsa.

“Siasatan sedang dijalankan merangkumi pelbagai aspek dan kita sudah pun mengambil keterangan daripada beberapa individu termasuk keluarga angkat dan jiran mangsa,” katanya.

Jelasnya lagi, buat masa ini, kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Dalam masa sama, Manoharan mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kematian mangsa sehingga disahkan oleh polis.

Semalam, Sinar Harian melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun mati dipercayai mangsa dera.

Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital selepas dibawa ke Hospital Besut oleh ibunya dengan ambulans Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Besut, jam 8 malam.

Terdahulu, ibu mangsa yang berusia 23 tahun berjalan kaki sejauh 500 meter dari rumahnya sambil mendukung mangsa yang sudah tidak bergerak untuk meminta bantuan di pejabat JPAM Besut.

Posting Komentar

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top