Pelajar MRSM Balik Pulau dakwa dipukul, ugut bunuh | GEORGETOWN - Seorang pelajar lelaki Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Balik Pulau di sini mendakwa dipukul sekumpulan pelajar selain menerima ugutan bunuh awal pagi semalam.

Pelajar yang hanya ingin dikenali sebagai Arif, 16, berkata kumpulan pelajar terbabit berdendam dengannya ekoran beliau pernah menyerahkan nama mereka kepada Lembaga Disiplin Pelajar (LDP) minggu lepas.

"Dalam kejadian pukul 11.30 malam itu, kira-kira 20 orang kumpulan pelajar tingkatan empat itu datang ke katil saya serta menarik saya ke satu sudut bilik asrama dan saya ditumbuk di bahagian perut sebanyak dua kali selain ditendang di rahang kanan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Beliau berkata dua pelajar tingkatan lima kemudiannya menyuraikan keadaan dan Arif mendakwa dia diserang lagi buat kali kedua dengan lebih teruk pada pukul 2.30 pagi.

"Masa itu hanya lima pelajar yang datang ke katil saya dan saya ditumbuk di bahu kiri, perut selain kepala dihentak ke dinding," katanya yang dilantik sebagai anggota LDP Jun lepas.

Arif mendakwa seorang daripada pelajar itu kemudian mengeluarkan serpihan cermin tingkap yang pecah dan berkata "kalau orang lain tak dak di sini dah lama aku bunuh hang".

Beliau yang trauma dengan kejadian itu kini berulang alik dari rumah ke sekolah dan belum membuat keputusan untuk bertukar sekolah.

Bapa pelajar itu berkata ketika ke MRSM itu awal pagi semalam, beliau mendapati baju anaknya koyak rabak selain kepalanya mempunyai kesan bengkak serta lebam.

Arif menerima rawatan di Hospital Balik Pulau sebagai pesakit luar, katanya sambil memberitahu satu laporan telah dibuat di Balai Polis Balik Pulau pagi semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya Suptritenden Mohd Hatta Mohd Zain ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu. - Bernama

Posting Komentar

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top