Bank Di Malaysia Untung Berbilion Tapi Berkira Isu Keselamatan!PERISTIWA seorang pengawal keselamatan yang menembak seorang pegawai bank di Subang Jaya baru-baru ini sebenarnya menimbulkan pelbagai persoalan.

Selain daripada isu suspek yang menggunakan kad pengenalan palsu, ada lagi perkara yang boleh kita jadikan renungan dan iktibar.
Antaranya betapa tidak seriusnya bank dan institusi kewangan di negara kita bila melibatkan soal keselamatan di premis dan kakitangan mereka.

Bagi bank dan institusi kewangan ini, melantik sesebuah syarikat kawalan keselamatan sudah memadai.
Bagi syarikat-syarikat ini, tanggungjawab mereka selesai bila berbuat demikian…sama ada syarikat keselamatan itu menipu atau menggaji orang asing itu ‘bukan lagi bidang mereka’.

Memang betul, bila terjadi perkara tak diingini seperti ini, syarikat kawalan keselamatan yang perlu bertanggungjawab tetapi apa pula peranan bank dan institusi kewangan itu.
Adakah mereka rasa dengan memberi pampasan sudah cukup untuk membalas jasa pegawai mereka yang menjadi mangsa jenayah seperti ini?

Ingat, bagilah berjuta ringgit sekalipun, ia tidak akan mampu membeli jasa yang ditaburkan.
Apatah lagi nyawa itu sendiri bukan benda yang boleh dibandingkan dengan ringgit dan sen!
Cuba anda perhatikan, acapkali bila kita pergi ke bank, pengawal yang bertugas kebanyakannya sudah berusia dan hanya layak berehat di rumah bersama cucu-cucu tersayang.



Kekadang kita sering tertanya sendiri…larat ke pakcik-pakcik ni nak angkat ‘pump gun’ mereka itu, apatah lagi nak ‘bertempur’ dengan penjenayah andai ditakdirkan berlaku rompakan dan sebagainya.

Dan jangan terkejut, masih ada bank yang menugaskan pengawal wanita untuk menjaga premis mereka!
Sebenarnya jangan salah sangka, bukan niat penulis nak merendahkan kemampuan golongan berusia dan wanita yang bertugas sebagai pengawal keselamatan tetapi kita bercakap tentang realiti.
Penjenayah terutama yang menjadikan bank dan institusi kewangan sebagai sasaran bukanlah penjenayah biasa.

Kalau mereka tidak mempunyai skill dan keberanian, tak mungkin mereka sanggup untuk berbuat demikian.
Lebih baik mereka menyamun kedai mesin slot atau kedai runcit yang dah tentu risikonya lebih rendah dari merompak bank.

Jadi mereka yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di bank juga perlu ada keberanian dan skil yang dimaksudkan.
Pengawal bank tak sama dengan pengawal sekolah.

Malangnya pihak bank dan institusi kewangan seolah-olah ‘pejam sebelah mata’ dan masih meletakkan kepercayaan kepada syarikat kawalan keselamatan dalam memilih anggota yang bertugas di premis-premis mereka.
Sebabnya apa? Sebabnya mudah.
Mereka hanya perlu bayar sejumlah wang kepada syarikat keselamatan lepas tu mereka dah boleh cuci tangan.

Mereka dah tak perlu fikir mengenai KWSP, tak perlu fikir pasal caruman Perkeso, tak perlu bayar itu dan bayar ini – hanya bagi ‘selambak’ kepada syarikat kawalan keselamatan lepas tu tutup cerita.
Yang pasti kaedah ini lebih ‘menjimatkan’.
Dalam hal ini, penulis angkat topi pada Bank Simpanan Nasional (BSN) yang nampaknya bersungguh-sungguh dalam soal keselamatan hingga sanggup menubuhkan pasukan Polis Bantuan dalam syarikat mereka.



Apa itu Polis Bantuan?
Polis Bantuan merupakan kerjaya ‘dua alam’ iaitu bukan sahaja bertindak sebagai pengawal keselamatan, malah mereka juga mempunyai kuasa sebagaimana polis berdasarkan peraturan ditetapkan.

Polis Bantuan juga mempunyai tanggungjawab yang sama seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu membanteras kegiatan jenayah.

Polis Bantuan merupakan sebahagian daripada ahli keluarga PDRM dan tertakluk pada peraturan yang ditetapkan di bawah Akta Polis 1967.

Polis Bantuan mempunyai peranan sama seperti pasukan polis kerana mereka menggalas tanggungjawab berat memastikan kawasan seliaan masing-masing berada dalam keadaan selamat.

Dalam erti kata lain, apabila mereka ini menyarung pakaian seragam polis, maka mereka mempunyai bidang kuasa yang sama dengan PDRM, cuma di dalam lingkungan kawasan dan waktu yang ditetapkan sahaja.
Semua pegawai dan anggota Polis Bantuan juga dikehendaki menjalani latihan asas kepolisan selama sembilan minggu di Pusat Latihan Polis dengan silibus latihan disediakan oleh Bahagian Latihan Bukit Aman.
Jadi sepatutnya kalau betul bank dan institusi kewangan serius dalam soal keselamatan, mereka juga harus menubuhkan pasukan Polis Bantuan sepertimana BSN.

Betul, dari satu segi kos operasi, ia mungkin akan meningkat kerana mereka perlu membayar latihan, gaji, elaun dan menyediakan segala kemudahan untuk anggota-anggota ini tetapi kalau Pos Malaysia (yang untungnya jauh lebih rendah) pun boleh menubuhkan pasukan Polis Bantuan mereka, kenapa bank yang punya keuntungan berbilion ringgit setahun ini tak boleh melakukan perkara yang sama?
Ini persoalan nak atau tak nak saja.

Kalau betul bank-bank dan institusi kewangan di Malaysia serius dalam soal keselamatan, mereka harus buktikan komitmen dan kesungguhan mereka.

Bak kata pepatah dalam bahasa Inggeris – Walk The Talk.
Jangan hanya cakap tak serupa bikin! – mynewshub





Posting Komentar

  1. betul tu...mmg pegi bank rata2 pak guard nya dh tua2 mcm pk guard sklh..mn blh mcmni

    BalasHapus

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top