NGERI! 3 Maut,3 Lagi Parah Kemalangan | ROMPIN - Tiga maut manakala tiga lagi parah dalam nahas membabitkan pertembungan dua kenderaan di kilometer 115.8 Jalan Kuantan - Johor Bahru, berhampiran Sekolah Menengah Seri Rompin, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.45 pagi itu, sebuah kereta Proton Persona melintang di tengah jalan dan rentung selepas bertembung dengan sebuah Toyota Vios.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Superintendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, dua beradik masing-masing pemandu Toyota Vios, Chan Yer Lin, 49, dan penumpang belakang, Chan Gee Chin, 52, serta pemandu Proton Persona, Mohd Nazri Mohamad Dom, 38, maut dalam kejadian itu.

“Dua penumpang lelaki berusia 50-an dalam Toyota Vios dan anak saudara lelaki kepada Mohd Nazri berusia 21 tahun mengalami cedera parah,” katanya.

Menurutnya, Proton Persona tersebut dalam perjalanan dari arah Rompin menuju Kuantan manakala Toyota Vios dari arah bertentangan.

“Kejadian dipercayai berlaku apabila Proton Persona terbabas sebelum masuk laluan bertentangan dan bertembung dengan Toyota Vios berkenaan.

“Tiga mangsa maut di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala dan badan,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Pegawai Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Rompin, Nordin Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada jam 8.35 pagi yang memaklumkan kejadian itu.

“Seramai enam anggota bergegas ke tempat kejadian dan tiba di sana pada jam 8.47 pagi. Operasi memadam bermula jam 8.48 pagi.

“Mangsa sempat dikeluarkan orang ramai sebelum Proton Persona terbakar dan operasi memadam selesai pada jam 10.30 pagi,” katanya.-sinar harian

Posting Komentar

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top