Isu Dadah : Benjy Dan Empat Rakannya Mengaku Tidak BersalahKUALA LUMPUR - Pelakon Khaeryll Benjamin Ibrahim atau Benjy hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang terhadap pertuduhan pindaan memiliki dadah, Jun lepas.
   
Turut mengaku tidak bersalah ialah empat rakannya iaitu Imran Radzi, 32, pasangan suami isteri Asmanizam Mohamed Akhir, 32, dan Norazila Arzami, 27, serta Afifi Hamidi, 27.
   
Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman mengekalkan jaminan RM3,800 dengan seorang penjamin bagi kelima-lima tertuduh dan menetapkan 11 Okt depan untuk sebutan kes.
   
Seorang lagi rakan mereka Zain Amir Zainal Khairi, 37, yang mengaku bersalah atas pertuduhan pindaan itu, didenda RM4,000 atau dua bulan penjara sekiranya gagal membayar denda tersebut.
   
Zain Amir membayar denda berkenaan.
 
Mengikut pertuduhan pindaan itu, kesemua tertuduh didakwa bersama-sama memiliki beg mengandungi dadah jenis methamphetamine seberat 2.99 gram di Oakleaf Park Condo, Blok C, Persiaran Bukit Jaya, Taman Bukit Jaya, Hulu Kelang pada 11.30 pagi 26 Jun lepas.
   
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952= yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM100,000, jika sabit kesalahan.
   
Sebelum ini, kesemua mereka didakwa atas pertuduhan sama tetapi berat dadah berbeza iaitu 4.7 gram dan Timbalan Pendakwa Raya Goh Ai Rene hari ini meminda pertuduhan.
   
Terdahulu, peguam P.G Cyril yang mewakili Zain Amir memohon hukuman ringan dengan alasan anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga, tidak mempunyai rekod lampau dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis
sepanjang siasatan selain pengakuan bersalahnya itu menjimatkan masa mahkamah.
   
Goh pula memohon hukuman setimpal kerana masalah dadah semakin berleluasa dan hukuman yang diberikan boleh memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat. - Bernama

Posting Komentar

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top