Anak Nabila Huda Tercampak Dari Kereta (2 GAMBAR)
Anak Nabila Huda Tercampak Dari Kereta (2GAMBAR) | KUALA LUMPUR – “Saya tidak mengalami sebarang kecederaan serius, hanya luka kecil di bawah telapak kaki dan sudahpun menerima jahitan di Hospital Bentong, petang tadi (semalam).
“Maaf saya tidak boleh ingat berapa jarum jahitan yang diberikan doktor kerana saya lebih risaukan keadaan anak saya sekarang,” kata pemegang trofi Pelakon TV Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2012 (ABPBH2012), Nabila Huda Suhaimi, 29.
Nabila dihubungi semalam mengesahkan kemalangan yang menimpanya kira-kira jam 4 petang itu. Dia dan anaknya Keisha Laila, 4 tahun, serta pelakon Shazwan Zulkifli dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur selepas menghadiri acara Karnival Planet Gempak Astro yang diadakan di Kuantan, Pahang.
Sewaktu memintanya menceritakan pengalaman mencemaskan itu, Nabila berkata, kejadian berlaku sepantas kilat malah tidak dapat mengingatinya kerana sedang tidur.
“Saya duduk di bangku penumpang. Bagaimanapun ketika kejadian berlaku saya sedang tidur. “Rakan artis, Shazwan Zulkifli yang memandu kereta berkenaan. Saya menumpang keretanya kerana kami sama-sama terbabit dalam promosi drama Jodoh Itu Milik Kita untuk saluran Mustika HD di Karnival Planet Gempak Astro. “Saya terjaga selepas mendengar dentuman berlaku dan menyedari anak saya tercampak keluar. Saya keluar dari kereta dan berlari mendapatkan Keisha (anak). Mujurlah semua kenderaan berhenti ketika itu,” kata Nabila dengan nada sebak.
Sambungnya lagi, “Keisha mengalami bengkak di tangan dan luka di kepala. Yang merisaukan saya adalah Keisha kerana dia mungkin mengalami hentakan di kepala selain terdapat banyak luka kecil ekoran cermin belakang kereta pecah. “Sekarang ini saya masih menantikan keputusan X-Ray ang dibuat dibahagian kepala Keisha. Sementara, X-Ray di badan sudah dilakukan dan doktor memaklumkan Keisha tidak apa-apa,” katanya.
Selepas mendapatkan rawatan pesakit luar di Hospital Bentong, Nabila membawa anaknya pulang untuk mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Damansara Specialist dengan bantuan seorang teman yang membawanya pulang ke Kuala Lumpur.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Mohd Mansor Mohd Noor berkata, kejadian terbabit berlaku di Kilometer 71 Lebuhraya Pantai Timur dari arah Kuantan menghala ke Kuala Lumpur.
“Kenderaan yang dinaiki pelakon berusia 29 tahun terbabit dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas.
“Ketiga-tiga mangsa dikejarkan ke hospital berhampiran dan dilaporkan tidak mengalami kecederaan serius,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.
Suami pelakon itu, Zaidi Zailani menerusi laman Twitternya memaklumkan anak perempuan mereka kini menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Damansara, di sini, dan dilaporkan stabil.
Gambar daripada Twitter bekas suami Nabila, Zaidi Zailani menunjukkan Keisha Laila, 4, cedera dan dirawat di hospital swasta. – HARIAN METRO
Posting Komentar
Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda