Tiada Anggota Keselamatan Cedera Dalam Serangan Ofensif Di Lahad Datu – Hishammuddin | KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengesahkan tiada anggota keselamatan yang terbunuh atau cedera dalam serangan ofensif terhadap pengganas Sulu di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah awal Selasa.

“Alhamdulillah jelas tiada kecederaan langsung (di pihak anggota keselamatan).

“Tapi dalam konteks pihak musuh, itu kita kena tunggu kerana sekarang ini masih dalam operasi,” katanya pada sidang akhbar bersama Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Lahad Datu, Selasa.

Tinjauan Bernama di pekan Chenderawasih yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari Felda Sahabat 16 tengah Selasa mendapati beberapa ambulans bergerak di sekitar kawasan itu.

Selepas serangan ofensif pada pukul 7 pagi, sekitar kawasan itu kini tenang dan terdapat banyak sekatan jalan raya di sepanjang jalan ke pekan dan menuju ke Kampung Tanduo.

-Sementara itu, Ahmad Zahid berkata pasukan tentera menggunakan tiga jet pejuang F18 dan lima Hawk dalam serangan ofensif terhadap perkampungan yang menjadi kawasan pihak penceroboh.

Beliau berkata inilah adalah kali pertama operasi bersama antara ATM dan PDRM dan pihaknya sedang menjalankan usaha untuk menambah kekuatan anggota di kawasan itu.

“Apa yang ingin kami khabarkan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa kepercayaan yang diberi kepada ATM untuk lakukan operasi sebaik ini dan untuk pertahankan negara telah memberi keberhasilan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan memberikan bantuan kemanusiaan, antaranya keperluan bekalan makanan kepada penduduk di Kampung Tanduo bagi memastikan mereka tidak menghadapi kesulitan.

Beliau berkata hubungan antara Malaysia dan Filipina tidak terjejas berikutan insiden itu kerana ia hanya membabitkan sekelompok rakyat Filipina  yang tidak mendapat restu daripada kerajaan negara itu.

“Apa yang penting hubungan yang baik antara kerajaan Malaysia dan kerajaan Filipina tetap dipertahankan,” katanya.

Sementara itu, orang ramai boleh menghubungi Hotline di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah melalui talian 088-318555, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu (089-881255) atau IPD Semporna (089-782020) untuk sebarang pertanyaan.– BERNAMA

Foto : mStar

Posting Komentar

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top