Sasha bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pada 10 Julai lalu dengan talak satu selepas lima tahun berkahwin.


PETALING JAYA: Harapkan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Tahun 2012 yang akan melabuhkan tirainya beberapa hari sahaja lagi menyaksikan pelbagai kisah suka dan duka di alam rumah tangga.

Rumah tangga yang dibina oleh sebahagian selebriti kita tidak mampu bertahan lama. Ada di antaranya belum sampai setahun melayari bahtera itu.

Itulah dinamakan takdir. Jodoh, ajal dan maut tiada siapa yang dapat menolaknya.


Bahagia Hattan hanya dua bulan

Penyanyi yang popular dengan lagu Bisa Bonar, Datuk Hattan atau nama sebenarnya Mohd Shukri Shahabudin, 48, melafazkan talak satu terhadap isterinya Farah Asyikin Othman di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada 12 Januari 2012.

Mereka bernikah pada 11 November 2011. Sepanjang dua bulan berkahwin, terdapat masalah yang akhirnya menyebabkan mereka mengambil keputusan untuk berpisah secara baik.

Hattan sebelum ini pernah berkahwin tetapi jodohnya tidak panjang selepas dikurniakan seorang anak lelaki, Adam Eiman yang berusia 13 tahun. Beliau menduda selama enam tahun sebelum berkahwin dengan Farah Asyikin.

Sharifah Aleya & Ashraf punyai zuriat kembar

Sesuatu yang amat bermakna terhadap perkahwinan Sharifah Aleya Syed Zainal Rashid, 29, dengan Muhammad Ashraf Aasimidin, 32, apabila rumah tangga yang dibina pada 8 Disember 2007 membawa nikmat dengan zuriat kurniaan Allah.

Hasil perkahwinan itu mereka memperoleh bayi perempuan kembar iaitu Aza Ameena dan Asha Ameena yang kini berusia tiga tahun.

Tapi sayang, hubungan suami isteri itu tidak kekal lama apabila kedua-dua mereka mengambil keputusan untuk berpisah pada 29 Februari 2012.

Ashraf melafazkan talak satu terhadap Aleeya di Mahkamah Rendah Syariah, Subang Bestari, Shah Alam, Selangor.

Jimmy melakukan lafaz cerai secara khuluk iaitu tebus talak sebanyak RM1 terhadap Suhaila pada 10 Oktober lalu.

Bahtera Adda (Butterfly) roboh tidak sampai sebulan

Hasrat untuk kekal bahagia tidak terlaksana. Vokalis kumpulan Butterfly, Adda atau nama sebenarnya Nur Syuhada Baharuddin, 24, bercerai talak satu dengan Ridzuan Mohammad.

Mereka bernikah pada 30 Mac 2012 tetapi sayangnya selepas 17 hari, rumah tangga mereka roboh.

Ridzuan melafazkan talak satu terhadap Adda pada 17 April 2012 melalui satu panggilan telefon.

Raja Azmi & Jalani Sidek berpisah selepas 28 tahun

Angka 28 tahun bukannya satu jumlah yang singkat. Tapi apakan daya jika setakat itu sahaja jodoh di antara Raja Azmi Raja Sulaiman, 53, dengan bekas jaguh badminton negara Jalani Sidek, 49.

Pasangan itu bernikah pada 22 Disember 1984 dan mengambil keputusan bercerai pada 27 Jun 2012. Lafaz cerai dilakukan Jalani atau nama sebenarnya Mohamed Jalani Mohamad Sidek di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Kuala Lumpur dengan talak satu.

Tarikh 27 Jun itu juga merupakan tarikh ulang tahun kelahiran Raja Azmi yang ke 53 tahun.

Hasil perkahwinan mereka, kedua-dua pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Puteri Suraya, 27, Puteri Suaida, 23, dan Megat Deli, 18.

Ana Dahlia dan Chef Riz mempunyai sebab tersendiri merahsiakan kemelut rumah tangga mereka.

Sasha Saidin & Salyo sembunyi kisah rumah tangga

Bekas penyanyi Elite iaitu Sasha Saidin, 36, berjaya menyembunyikan kemelut rumah tangganya dengan Salyo Priyanto, 37, yang dibina selama lima tahun.

Pasangan itu bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pada 10 Julai 2012 dengan talak satu.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang anak iaitu Adam Aryasenna yang kini berusia tiga tahun.

Ia merupakan perkahwinan pertama buat Salyo dan kedua untuk Sasha.

Sasha pernah bernikah dengan Jason Skinner atau Johan Abdullah Skinner pada 21 Jun 2003 di Masjid Central Park, London.

Sham (Kamikaze) & Farazila lakukan “muasyarah”

Bekas anggota kumpulan Kamikaze iaitu Shamri Mohd Salleh, 36, atau Sham tidak lagi bergelar suami kepada Fazila Abdul Jabar, 31, sejak 1 September 2011.

Pada akhir bulan Ogos lalu, Farazila telah memfailkan cerai terhadap Sham kerana sudah tiada persefahaman.

Bagaimanapun Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam yang mendengar permohonan itu menjelaskan rujuk perbuatan yang dilakukan pasangan tersebut selepas lafaz cerai dibuat adalah tidak sah mengikut mazhab Syafie.

Mereka juga telah melakukan “muasyarah” iaitu yakin hidup sebagai suami isteri tetapi pernikahan berkenaan sebenarnya sudah terbatal.

Mereka juga ditegur kerana tidak melaporkan kepada mahkamah ketika lafaz cerai dibuat sebelum ini.

Pasangan berkenaan bernikah pada 17 Ogos 2008 dan pada 30 Ogos 2012, mereka sudah tinggal secara berasingan.
Raja Azmi dan Jalani berpisah selepas 28 tahun berkahwin.

Jimmy Shanley tebus talak RM1

Perkahwinan yang penuh dengan kontroversi. Itulah rentetan hidup pelakon Jimmy Shanley Norjahan Salleh, 33, dengan anak jutawan kosmetik produk Natasya iaitu Nursuhaila Eliani Suhaimy, 26.

Jimmy melakukan lafaz cerai secara khuluk iaitu tebus talak sebanyak RM1 di hadapan Hakim Syarie, Abd Halim Abu Samah di Mahkamah Rendah Syariah, Petaling Jaya, pada 10 Oktober 2012.

Jimmy dan Nursuhaila diijabkabulkan pada 1 Oktober 2010 dengan hantaran sebanyak RM31,186 yang diambil bersempena tarikh lahir Nursuhaila yang jatuh pada 31 Januari 1986

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang anak perempuan iaitu Zahrah Shanley yang berusia lebih setahun.

Punca Dirahsiakan antara Ana Dahlia & Chef Riz

Pelakon Ana Dahlia dan Chef Riz mempunyai sebab tersendiri untuk merahsiakan kemelut rumah tangga mereka.

Kedua-dua pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 11 Disember 2011 tetapi pada 10 Disember 2012, Chef Riz atau Mohd Nadzri Redzuawan, 31, secara rasmi menceraikan Ana Dahlia dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah, Kajang.

Ana Dahlia atau nama sebenarnya Diyana Mastura Jaafar , 29, dan Riz telah diijabkabulkan di Taiping, Perak, pada 11 Disember 2011

Ia merupakan perkahwinan kedua buat Ana.




Posting Komentar

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top