Belaian Pulau, ‘Port’ Rahsia Memuaskan Nafsu
Jaraknya tidak sampai 500 meter dari balai Islam dan balai polis, namun sebuah rumah pelacuran dikesan beroperasi secara bebas dan menjadi ‘port’ rahsia untuk lelaki hidung belang dari tanah besar memuaskan nafsu bersama ‘adik’ daripada pelbagai negara.
Golongan itu biasanya memberikan pelbagai alasan kepada keluarga, terutama isteri, seperti kononnya untuk memancing ke pulau berkenaan bagi mengaburi aktiviti gelap mereka.
Difahamkan, rumah pelacuran itu mengenakan caj antara RM100 hingga RM180 bergantung kepada rupa paras dan fizikal gadis berkenaan.
Lebih mengejutkan, lelaki berkenaan bukan saja membabitkan eksekutif muda, malah warga emas dan pesara yang masih tidak insaf serta gemar mencari keseronokan dunia dengan dibelai gadis muda, terutama dari Thailand, China dan Indonesia.
Selain itu, ada lelaki membawa kekasih gelap ke pulau berkenaan untuk memadu kasih kerana percaya lokasi itu selamat berikutan didiami sebahagian besar penduduk bukan Islam.
Bagi lelaki gatal yang mahukan khidmat urut batin atau lebih dikenali sebagai ‘ping-pong’, tiga pusat urut dikesan kira-kira dua kilometer dari pusat pelacuran yang beroperasi di kawasan rumah kedai.
Sebagai pelengkap pakej pulau maksiat, sekurang-kurangnya dua pusat perjudiannya menggunakan mesin slot, manakala kedai menjual nombor ekor haram serta judi mahjong yang dimain secara terbuka turut beroperasi di situ.
Perkembangan itu tidak menggembirakan penduduk tempatan, khususnya yang beragama Islam, kerana ia menjejaskan nama baik dan kredibiliti pulau itu di kalangan pelancong dalam dan luar negeri.
Abdul Hisham Hamzah, 55, berkata, walaupun penduduk bukan beragama Islam tidak ambil kisah perkembangan itu, namun bagi individu sepertinya, situasi itu sesuatu yang kurang enak kerana ia menjejaskan imej masyarakat Melayu di mata penduduk tempatan.
“Sebagai seorang Muslim, saya terpanggil untuk bersuara tetapi tiada kuasa untuk mencegah sekalipun melihat pasangan Melayu berkelakuan mencurigakan dan bermalam di sini,” katanya kepada Metro Ahad.
Abdul Hisham orang pertama memperdengarkan azan dari Balai Islam Pulau Ketam yang diasaskannya pada 1990, namun selepas 2007 tiada lagi suara azan berkumandang hingga kini, malah aktiviti agama juga kian terhad.
Menurutnya, pulau berkenaan bakal muncul sebagai pulau pelancongan dan jika kegiatan maksiat tidak dikawal, ia pasti sukar dibanteras selepas pulau itu dibangunkan sepenuhnya.
“Memang penguatkuasaan sukar dilakukan di sini tetapi jika aktiviti agama rancak dijalankan, saya yakin pelancong yang datang ke sini pasti segan-silu untuk melakukan maksiat kerana mereka pasti berfikir dua kali untuk berbuat demikian,” katanya.
Sementara itu, tinjauan Metro Ahad sekitar pulau berkenaan mendapati pusat pelacuran itu beroperasi di tingkat bawah bangunan rumah kedai tiga tingkat.
Pelanggan didapati masuk menerusi pintu depan premis itu yang ditutup separuh bagi mengaburi pihak berkuasa, terutama polis dan imigresen, sebelum memadu kasih kira-kira sejam.
Tinjauan turut mendapati sekurang-kurangnya tiga pusat urut menggunakan pekerja dari China dan Thailand, namun pekerja yang menawarkan perkhidmatan mengurut pada harga antara RM40 hingga RM50 itu tidak menawarkan perkhidmatan seks kecuali khidmat ‘ping-pong’ atau urut batin.
Bagaimanapun, jika ada individu berminat, mereka boleh menawarkan khidmat itu dengan bayaran antara RM100 hingga RM150, asalkan tembelang mereka tidak pecah kerana kebanyakan pelanggan adalah penduduk tempatan yang kehadiran mereka ke rumah urut mudah dikesan isteri masing-masing.
Seorang tukang urut hanya mahu dikenali sebagai Non, 28, berkata dia bekerja di pusat urut berkenaan hanya untuk menyara diri dan dua anaknya di Thailand dan tidak berhasrat melakukan maksiat atau mengganggu rumah tangga orang lain.
“Kebanyakan pelanggan adalah penduduk tempatan dan pulau ini kecil saja. Jika kami melakukan sesuatu pasti padah menimpa, maklumlah anak dan isteri mereka boleh mencari kami bila-bila masa,” katanya.
Ditanya sama ada beliau menawarkan perkhidmatan seks, Non berkata, ada kalanya dia dan rakan lain hanya menyediakan perkhidmatan ‘ping-pong’ untuk memuaskan nafsu lelaki kerana tidak mahu menghampakan mereka, manakala jika pengunjung luar ia bergantung pada tawaran.
“Kami hanya mencari makan mengikut cara kami dan tauke hanya ambil RM10 bagi setiap pelanggan yang menggunakan khidmat tukang urut di sini, malah penginapan juga disediakan,” katanya.
Non berkata, kebanyakan tukang urut di situ tidak suka suasana kerja di tanah besar kerana sering dipaksa dan dipermainkan sindiket, selain mengelak dicekup pihak berkuasa yang kerap melakukan operasi penguatkuasaan.
sumber
Posting Komentar
Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda