Tidak lama lagi, 2012 akan meninggalkan kita, lalu tirai baru 2013 bakal disingkap.

Bagi penyanyi Shila Amzah, tentu sekali tahun ini meninggalkan seribu kemanisan buat kerjaya seninya.

Dua belas tahun berhempas pulas menempatkan diri dalam arena seni tempatan, akhirnya doa gadis ini dimakbulkan. Shila juga tidak menyangka besarnya kurniaan yang diberi kepadanya.


Selepas berjaya mengharumkan nama negara pada pertandingan Asian Wave di Shanghai, China, September lalu, rezeki gadis berusia 22 tahun ini bertambah murah. Shila berjaya merangkul trofi pertama acara hiburan tempatan iaitu Anugerah Industri Muzik, Oktober lalu.

Ini diikuti trofi ketiga bagi kategori Anugerah Power Vocal pada Anugerah Shout! Mungkinkah berderet lagi anugerah menanti berikutan lagu ditulis dan didendangkannya, Patah Seribu berjaya melangkah ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu (AJL) 27, bulan depan. Selain itu, berdasarkan popularitinya, tidak mustahil Shila menjadi calon Top 5 pada Anugerah Bintang Popular BH 2012 (ABPH 2012), April depan.

Akui anak sulung penyanyi ND Lala, tahun ini menjadi tahun paling aktif dalam kerjaya seninya. Namun ujar Shila, dia tidak pernah meletak harapan tinggi.

“Saya memeriahkan setiap majlis sekadar memberi sokongan kepada pihak yang banyak menyokong kerjaya seni saya. Bagi saya, apa yang kecapi kini adalah rezeki kurniaanNya selepas hampir 12 tahun saya sabar menanti.

“Selama ini, apa yang saya impikan tidak pernah tercapai dan baru sekarang impian saya dimakbulkan.

“Sebelum ini, saya akui cemburu melihat kejayaan teman-teman. Tidak sangka pula akhirnya saya berpeluang melalui apa yang pernah mereka rasa. Walaupun terpaksa menunggu lama, saya tetap bersyukur kerana sekurang-kurangnya Tuhan beri peluang untuk saya merasainya,” kata Shila yang ditemui pada acara pra promosi AJL 27 di Wangsa Walk, Wangsa Maju, Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Berangkat ke China bulan depan 

Sejak menempa nama dalam beberapa anugerah, jadual seni Shila berubah 360 darjah. Jadualnya terlalu padat sehingga dia terpaksa berkejar ke sana sini memenuhi undangan persembahan.

Namun, sebelum kemanisan ini dapat dicapai, Shila juga tidak ketinggalan berdepan dugaan yang boleh mematahkan semangatnya. Antaranya, apabila ada yang seolah-olah memperkotak-katikkan bakat seni yang dimiliki. Namun, gadis ini tidak cepat berputus asa.

“Sebelum ini, ada orang beritahu bakat nyanyian saya tidak seberapa, jadi saya tidak boleh ke mana-mana. Malah sebelum ini, lagu-lagu saya tidak diputarkan di radio kerana kononnya lagu Ada Saja terlalu urban.

“Apabila syarikat rakaman beri pilihan kepada stesen radio untuk pilih lagu yang mereka berkenaan, tiada satu pun lagu yang terpilih. Tetapi saya cabar diri untuk membuktikan kemampuan dan alhamdulillah, ia dimakbulkan,” katanya yang bakal berangkat ke China, usai penyertaannya di AJL 27 kelak.

Peminat dekati finalis 

Sementara itu, kemunculan finalis Anugerah Juara Lagu (AJL) 27 di program mencorak arca logo AJL27 di tiga pusat beli-belah sekitar Lembah Klang, Sabtu lalu, menarik perhatian peminat.

Acara mencorak arca yang terbuka kepada orang ramai itu mendapat sambutan di pusat beli-belah Sogo dan Pasar Seni di Kuala Lumpur. Difahamkan, peminat berkerumun dan turut sama mewarnakan arca disediakan.

Peminat juga dapat mendekati finalis AJL 27 antaranya Adira, Amir Jahari dan Bedroom Sanctuary (Bo Amir) yang membuat kemunculan di Sogo.

Manakala One Nation Emcees & Jimmy Palikat serta Mojo pula menemui peminat mereka di Pasar Seni. Acara mencorak arca logo yang pertama kali diperkenalkan itu diketuai tiga pelukis tempatan iaitu An-Nyssa, Donal Abraham dan Orkibal. -bharian

Posting Komentar

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top