Farid Kamil Akan Jelaskan Isu Salah Guna Uniform
PETALING JAYA: Pelakon Farid Kamil akan memberi penjelasan dalam waktu terdekat mengenai isu menyalahgunakan pakaian istiadat pasukan keselamatan semasa majlis resepsi persandingannya dengan aktres Diana Danielle.
Jurucakap syarikat produksi Metrowealth International Group (MIG) berkata, kenyataan yang bakal dibuat Farid itu bagi menghuraikan segala kekeliruan dan salah faham sesetengah pihak mengenai tindakan tersebut.
“Kami menyedari mengenai pertikaian berhubung uniform yang dipakai Farid tempoh hari dan ia sebenarnya adalah satu masalah kecil,” jelas wakil syarikat itu ketika dihubungi mStar Online di sini pada Rabu.
Farid tidak dapat memberi komen kerana dia sedang sibuk menguruskan majlis resepsi persandingan sebelah pihak lelaki di Jitra, Kedah yang berlangsung pada Rabu (hari ini).
Kata jurucakap itu, kenyataan rasmi tersebut akan dibuat oleh Farid selepas dia kembali ke Kuala Lumpur apabila semua urusan majlis persandingannya selesai.
Pada Ahad lalu sebuah akhbar menerusi ruangan pojok melaporkan Farid mungkin dikenakan tindakan saman kerana menyalahgunakan pakaian istiadat pegawai pasukan keselamatan berpangkat Majer Jeneral pada majlis resepsi persandingannya yang diadakan di Taman Ekuestrian Putrajaya dekat sini pada 1 Disember lalu.
Farid dan Diana bernikah pada 3 November lepas di Hotel Flamingo By The Lake, Ampang, dekat sini.
Terdahulu, dalam satu kenyataan kepada mStar Online Selasa lalu, Pegawai Perhubungan Media, Unit Komunikasi, Kementerian Pertahanan, Leftenan Komander Rahimah Taib berkata, pakaian dipakai Farid itu bersifat cacamarba kerana mempunyai lencana pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan juga Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Kata Rahimah, ia adalah pandangan peribadinya sebagai pegawai ATM.-mstar online
Posting Komentar
Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda