Kota Kinabalu - Berang cintanya dihalang, seorang pemuda bertindak gila apabila menceroboh rumah keluarga teman wanitanya, lalu menyimbah sebaldi cuka getah ketika keluarga berkenaan tidur di ruang tamu, menyebabkan seorang bayi berusia enam bulan yang juga adik kekasihnya maut manakala kakak dan ibu bayi itu parah.

Dalam kejadian di Kampung Gaur, Kota Belud, jam 5 pagi pada Rabu lalu, bayi berkenaan, Johrsin Hortelano, maut selepas enam jam dirawat di Hospital Kota Belud akibat melecur teruk di muka.


Ibu bayi itu, Virgnia Ale-gada, 39, dalam keadaan kritikal dan kini menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth (HQE) Kota Kinabalu dan seorang lagi anaknya, Jezel Hortelano, 12, dirawat di Hospital Kota Belud dengan keadaannya dilaporkan stabil.

Bagaimanapun, kata sumber, teman wanita suspek yang turut tidur di ruang tamu rumah berkenaan ketika kejadian tidak cedera.

Menurutnya, ketika kejadian, semua 10 beranak itu termasuk teman wanita suspek, tidur di ruang tamu rumah itu dan suspek menyimbah cuka getah melalui tingkap terbuka.

Difahamkan, suspek berusia 20 tahun hanya menyasarkan untuk menyimbah cuka getah itu kepada ibu dan bapa teman wanitanya tetapi tidak menyangka bapa gadis terbabit tiada di rumah kerana bermalam di kebun ketika itu.

“Sebaik disimbah asid, si ibu menggelupur kesakitan manakala bayi dan seorang lagi anaknya turut meraung apabila kulit mereka melecur.

“Jeritan itu menyebabkan ahli keluarga lain tersedar dan ketiga-tiga mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Kota Belud untuk mendapat rawatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Omar Mammah yang mengesahkan kejadian berkata, suspek yang juga jiran mangsa ditahan kira-kira jam 10 pagi pada hari sama.

“Suspek berusia 20 tahun ditahan di rumahnya yang terletak 100 meter dari tempat kejadian. Siasatan awal mendapati, suspek menyimbah asid dari bahagian luar rumah melalui tingkap,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, siasatan juga mendapati suspek memotong bekalan elektrik kerana terdapat kesan potong pada wayar di rumah mangsa.

“Motif kejadian dipercayai akibat dendam apabila suspek menjalin hubungan cinta dengan seorang anak perempuan mangsa berusia 16 tahun, namun cintanya dihalang ibu bapa teman wanitanya itu,” katanya.

Posting Komentar

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top