Keadaan tiga rumah kedai di Sungai Galah, Kampung Gajah yang musnah teruk dalam kebakaran yang menyebabkan seorang OKU maut.
“Saya sangat panik, tidak tahu apa perlu dilakukan, saya cuma sempat lihat dia menjerit di atas kerusi rodanya,” luah Chooi Che Lam, salah seorang mangsa kebakaran membabitkan tiga rumah kedai di Sungai Galah, di sini, semalam.Mangsa yang tidak mampu berjalan akibat kecacatan sejak lahir dipercayai terperangkap dalam rumah kedai lama berkenaan.
Che Lam yang masih trauma dengan kejadian itu berkata, api marak terlalu pantas menyebabkan usahanya untuk menyelamatkan mangsa, gagal.
Dia yang tinggal bersama mangsa di rumah kedai itu sejak 30 tahun lalu turut cedera di kedua-dua tangan dan kaki.
“Kami sudah lama berkawan, setiap malam saya akan menemaninya kerana dia tinggal seorang diri,” katanya.
Ketika kejadian, hanya dua mangsa dilaporkan berada di premis berkenaan, sementara dua lagi rumah kedai ditinggalkan tanpa penghuni.
Abang mangsa, Lam Thin Fook, 63, berkata, dia dimaklumkan mengenai kebakaran itu kira-kira 9.30 malam, namun tidak mengesyaki adiknya terkorban.
Katanya, pada hari kejadian, dia ada bertemu adiknya itu sebelum meninggalkan premis berkenaan jam 6 petang.
“Saya mengajak dia bekerja kerana dia tidak mempunyai sebarang pekerjaan, saya tak sangka semalam adalah pertemuan terakhir kami,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Fakri Che Sulaiman berkata, siasatan awal mendapati, insiden berkenaan berlaku apabila rakan mangsa cuba menyalakan pelita menggunakan petrol memandangkan pada malam kejadian, bekalan elektrik di kawasan itu terputus.
“Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan. Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Changkat Melintang untuk mendapat rawatan lanjut,” katanya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seri Iskandar, Zaiful Efendi Ahmad berkata, pihaknya mengambil masa 15 minit untuk mengawal kebakaran sebaik tiba di tempat kejadian jam 10.16 malam.
Katanya, api berjaya dipadam sepenuhnya pada jam 11.16 malam sebelum menemui cebisan badan mangsa berhampiran pintu keluar.
“Buat masa ini, punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
sumber
Posting Komentar
Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda