Tunku Intan Safinaz Kesal Pihak Tidak Bersyukur
SINTOK – Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah melahirkan rasa kesal kerana terdapat pihak tertentu di negara ini dilihat gagal mensyukuri nikmat yang diperolehi mereka selama menjadi rakyat Malaysia.
Baginda bertitah, adalah penting untuk semua pihak memahami erti kesyukuran supaya dapat memiliki jati diri yang kuat sekali gus menjadikan mengukuhkan jiwa dan pendirian sebagai rakyat negara ini.
“Ramai kalangan kita dikurniakan pelbagai nikmat yang tidak terhitung banyaknya. Namun ramai juga dalam kalangan kita yang gagal menzahirkan kesyukuran atas nikmat yang diperolehi itu,” kata baginda selaku Pro-Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) pada sesi kelima Majlis Konvokesyen Ke-25 UUM hari ini.
Tunku Puteri Intan Safinaz bertitah, antara langkah yang dapat membantu mengembalikan jati diri adalah dengan menghayati lima prinsip Rukun Negara, mematuhi Perlembagaan Persekutuan, menjiwai maksud lagu Negaraku dan menghormati Jalur Gemilang bagi mengembalikan rasa cinta kepada negara.
Titah baginda lagi, dengan memahami sejarah yang berlaku akan memberi pengertian yang lebih jelas mengenai kepentingan dalam menjaga keamanan dan keselamatan tanah air serta kedaulatan negara.
Justeru, baginda menggesa semua pihak supaya bersyukur kerana dilahirkan dalam keadaan dan situasi negara yang aman, makmur, merdeka dan sejahtera selama ini.
Dalam pada itu, baginda mengajak golongan graduan untuk sama-sama terbabit dalam aktiviti kesukarelaan dengan menyertai badan bukan kerajaan (NGO), persatuan atau kelab yang menyediakan pentas untuk mereka menyumbang kepada aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan.
Baginda turut menggalakkan graduan membuat kelas tuisyen atau kelas bimbingan bahasa Inggeris bagi memantapkan lagi penguasaan bahasa itu dalam kalangan murid-murid di luar bandar. -mynewshub
Posting Komentar
Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda