HAMPIR setahun pengacara dan pelakon Yasmin Hani Ismail Richardson, 33, mendirikan rumah tangga dengan bekas pemain drum kumpulan Blackrose iaitu Sha'arin Mohammed Razali Wong.

Cerita Yasmin Hani atau mesra disapa Hani ini, dia gembira hidup bersama Sha'arin.

Luahnya, jika dulu dia banyak menghabiskan masa seorang diri atau bersama teman-teman, tetapi setelah berkahwin kebanyakan aktiviti dilakukan bersama suaminya itu.


"Alhamdulillah, sejak hidup berdua, saya merasakan kehidupan saya lebih sempurna. Semua perkara dilakukan bersama suami. Misalnya seperti hobi. Kebetulan saya dan Sha'arin sama-sama suka menyelam dan melancong.

"Disebabkan itu destinasi bulan madu kami adalah di Pulau Bali dan Pulau Lembongan (sebuah pulau kecil di Bali) yang membolehkan kami menyelam ke dasar laut," ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran Kempen Semarak Cinta terbitan Astro Ria di Flora Terrace, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kenapa Pulau Lembongan di Bali? Kata Hani, tempat itu terlalu privasi dan tidak ramai yang tahu akan kewujudannya.

"Sha'arin yang cari destinasi bulan madu kami menerusi Google. Akhirnya kami sama-sama memilih pulau Lembongan yang masih belum diteroka banyak orang," jelasnya.

Ditanya soal anak, kali ini, Sha'arin pula yang menjawab. Tanpa berselindung Sha'arin memberitahu, dia dan Hani sudah bersedia memperoleh anak pada saat ini setelah hampir setahun mereka berkahwin.

Mempunyai dua orang anak menerusi perkahwinannya yang terdahulu iaitu Narissa, 26, dan Armand, 24, ungkap Sha'arin, cukuplah mereka menghabiskan masa berdua dan kini mereka merancang untuk memperoleh cahaya mata untuk mengembangkan zuriat mereka.

"Kami telah bersedia untuk membina keluarga dan tidak kisah jika kelak diberi rezeki memperoleh anak lelaki atau perempuan," ujar Sha'arin.

Hani kemudian menambah: "Bila tengok anak kawan-kawan seperti Sazzy dan Dynaz ada terdetik di hati saya untuk memiliki anak.

"Namun, saya tidak mahu terlalu tertekan memikirkannya. Saya juga tidak akan terlalu memikirkan kata-kata orang yang ingin melihat saya memiliki anak dengan cepat."
YASMIN HANI dan Sha'arin bakal menyambut ulang tahun perkahwinan mereka yang pertama pada 21 Oktober ini. Mereka bagaimanapun tidak mempunyai perancangan khusus untuk meraikan detik bersejarah tersebut.


Sementara itu, bercakap tentang sambutan ulang tahun perkahwinan yang pertama pada 21 Oktober ini, ujar Sha'arin, mereka tidak merancang untuk menyambutnya memandangkan pada tarikh terbabit dia terpaksa ke Pulau Langkawi, Kedah untuk menjayakan projek syarikatnya iaitu Blueblack Production.

"Saya terpaksa ke Langkawi untuk suatu produksi berkaitan sukan di sana," jelasnya.

Menurut Hani pula, dia tidak terasa hati kerana suaminya terpaksa keluar negeri pada hari ulang tahun pertama mereka. Ujarnya, jika tiada kekangan kerja, dia mungkin mengikut suaminya itu ke Langkawi.

Boikot

Ditebak soalan sama ada dia sedar atau tidak mengenai ada wartawan yang memboikot untuk tidak menulis kisahnya lagi selepas isu tidak menjemput wartawan ke majlis perkahwinannya, tutur Hani, dia sedar akan perkara itu.

Malah katanya, dia sedar disebabkan seorang wartawan, ada beberapa pihak media lain turut memboikotnya.

"Saya tahu ada media yang boikot saya. Apa yang terjadi adalah salah faham semata-mata. Kami memang sediakan dua meja untuk media dan tidak menjangkakan ramai media yang hadir. Bukannya kami tidak membenarkan dia masuk, cuma orang yang menjaga kedatangan itu meminta dia tunggu sekejap untuk melihat kekosongan. Bukannya dia dihalau," luahnya.

Ulas Hani, jika diikutkan dia mempunyai hak untuk berkahwin tanpa menghebahkannya kepada media supaya tidak timbul perkara seperti itu, tetapi dia tidak melakukannya.

Tidak takut popularitinya merudum disebabkan perkara itu (boikot), kata Hani, rezekinya terletak di tangan Tuhan.

"Terpulang kepada individu terbabit sama ada mahu terus memboikot saya," ujarnya lagi.

Bersedia

Meninggalkan isu boikot tersebut, Hani memberitahu pada 28 Oktober hingga 1 November ini, dia dan suaminya bakal menjejakkan kaki ke Beijing, China.

Menganggap percutian percuma itu sebagai hadiah ulang tahun perkahwinan pertama mereka, kata Hani, dia bersyukur kerana terpilih daripada 12 selebriti yang bakal menjayakan program Destinasi Cinta terbitan Astro Ria.

YASMIN HANI dan Sha'arin melayari alam rumah tangga dengan berkongsi minat yang sama iaitu gemar melancong dan menyelam.

Program selama 30 minit itu bakal menyingkap kisah bulan madu setiap selebriti yang terlibat bersama pasangan masing-masing.

"Ia adalah program yang baik. Selain dapat melancong dan melihat negara orang, ia juga dapat mengeratkan hubungan suami isteri. Selain itu, program tersebut juga memberi idea untuk pasangan bercuti ke tempat-tempat yang menarik," jelas Hani.

Ditanya adakah dia tidak kisah percutiannya bersama Sha'arin nanti akan diekori oleh lensa kamera, kata Hani, dia sudah biasa berdepan dengan kamera.

Namun bagi Sha'arin, dia akan cuba berlagak spontan dan bersedia dari segi mental apabila percutiannya bersama isteri ke Beijing nanti akan dirakamkan untuk tontonan ramai.

Peluang bertemu Sha'arin juga membuka pintu buat pihak media bertanya tentang hubungan cinta adiknya, Qushairi Razali (Qi) yang telah putus dengan penyanyi bertaraf antarabangsa, Yuna.

Kata Sha'arin, dia tidak tahu perkara tersebut (putus cinta) sehingga membacanya di akhbar.

"Saya tidak tahu hubungan mereka putus. Dia (Qi) tidak memberitahu saya. Saya tahu selepas terbaca kisah mereka dalam akhbar," katanya yang enggan mencampuri urusan peribadi adiknya sebagai tanda menghormati privasi masing-masing. -kosmo


Posting Komentar

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top