KUALA LUMPUR – Majlis gilang gemilang Anugerah Blokbuster anjuran Astro menyaksikan kemenangan besar buat Syamsul Yusof apabila telah membawa pulang lima daripada 15 kategori yang dipertandingkan, semalam.

Antara kategori yang telah dimenangi Syamsul, 30, adalah Filem Terhebat, Filem Tuan Direktor Terhebat dan Filem Aksi Terhebat menerusi KL Gangster.

Manakala filem Khurafat arahannya telah memenangi kategori Filem Takut Terhebat.


Malah sebuah Anugerah Khas Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) juga turut menjadi pemilik anak sulung kepada Datuk Yusof Haslam itu.

Menurut Syamsul, dia tidak sangka akan kemenangan besarnya pada malam itu lebih-lebih lagi acara itu berdasarkan 100 peratus atas undian penonton.

“Penonton sekarang semakin pandai, mereka sudah pandai menilai sesebuah filem itu berdasarkan pemikiran sendiri.

“Saya lihat kemenangan ini tidak ada banyak bezanya dengan anugerah-anugerah yang lepas, nampaknya bukan industri filem yang lembab, tapi penonton yang semakin cerdik kerana mahukan filem yang bagus,” katanya semasa ditemubual pada majlis Anugerah Blokbuster yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam, semalam.

Ditanya apakah kekuatan filem KL Gangster sehingga bukan saja telah menang banyak anugerah malah berjaya mendapat kutipan tertinggi iaitu hampir RM12 juta, Syamsul mempunyai jawapan kukuh.

“Jalan cerita KL Gangster ini sangat dekat dengan hati penonton, apabila menonton mereka akan berasa seolah-olah turut sama berada dalam situasi berkenaan.

“Malah, watak pelakonnya juga memainkan peranan besar dalam filem ini. Saya kira kemenangan ini adalah untuk Sofi Jikan juga,” katanya.

Syamsul turut menambah, dirinya masih belum hebat jika nak dibandingkan dengan pengarah lain, banyak benda lagi yang harus dipelajarinya.

Semestinya, kemenangan Syamsul akan menjadi pemangkin semangat buat pengarah muda lain untuk terus berkarya bagi meningkatkan industri perfileman Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.

Oleh: NURUL NAFISAH MAZLAN -mynewshub

Posting Komentar

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top