PERSATUAN Seniman berpendapat artis tidak wajar “disalahkan seratus peratus”, sebaliknya pihak penganjur wajar memilih fesyen islamik sebagai tema majlis dalam usaha memastikan artis mengenakan pakaian sopan.

Presidennya, Zed Zaidi berkata,artis yang hadir sesuatu majlis atau program akan memilih fesyen pakaian bergantung pada tema.


“Jadi, penganjur perlu membuat tema yang lebih kepada islamik. Kalau tema fesyen islamik digunakan, lama-lama semua artis pakai tudung.

“Jangan salahkan artis seratus peratus, pihak penganjur juga bertanggungjawab,” kata beliau ketika dihubungi Sinar Harian Online.

Isu penampilan artis yang berpakaian seksi kerap menjadi bahan perbualan hangat, apatah lagi artis tempatan yang sebahagian besarnya wanita yang beragama Islam.

Sebelum ini, penampilan Miera Liyana yang disifatkan terlampau seksi ketika menghadiri sebuah majlis menerima kritikan hebat. Terbaru, Nabila Huda, anak kepada penyanyi rok tanah air, Amy Search pula menjadi bualan ramai apabila tampil dengan gaun hitam rekaan Alia Bastamam yang mendedahkan bahagian perut dan peha dalam Anugerah Blokbuster, Sabtu lalu.

Zed Zaidi berkata, setiap penganjuran perlu jelas temanya selain digalakkan tema yang sopan kerana ia sekali gus dapat menggalakkan artis dekat dengan Islam.

“Ini salah satu dakwah yang berlainan kerana apabila tema fesyen islamik sudah ditetapkan, tidak mungkin artis itu datang dengan terdedah sana sini.

“Jika artis itu datang dengan pakaian seksi, artis itu memang bermasalah,” katanya lagi.

Beliau berpendapat, artis perlu dididik langkah demi langkah tanpa paksaan daripadamana-mana pihak memandangkan kini sudah ramai artis yang berhijrah.

Antaranya, Diana Amir, Yatt Hamzah, Shila Amzah, Abby Abadi, Sharifah Sofea dan Melissa Saila.

“Artis yang berhijab sekarang ini, dulu semua seksi, terdedah sanasini tetapi perubahan yang mereka alami menggembirakan banyak pihak.

“Perkara seperti ini yang sepatutnya dihebohkan supaya menjadi ikutan kepada peminat tetapi kenapa isu artis berpakaian seksi yang sering diberi perhatian?” soalnya.

Zed Zaidi yang juga pelakon drama Sembilu berharap agar kod etika berpakaian artis akan lebih diberi penekanan.

“Kod etika yang sedia ada tidak memaksa mana-mana artis mematuhi kod pakaian yang digariskan.Jika ia diamalkan oleh semua artis yang beragama Islam, saya percaya ia akan jadi ikutan,malah mereka akan jadi ikon serta fesyen mereka menjadi ikutan,” katanya.-sinar

Posting Komentar

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top