AMRI (kiri) akan memastikan gawang Kelantan digegarkan pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Shah Alam Jumaat ini.

PENGENDALI Selangor, Irfan Bakti Abu Salim menegaskan Gergasi Merah masih memiliki peluang untuk menempah slot ke perlawanan akhir kempen Piala Malaysia di Stadium Shah Alam pada 20 Oktober ini.

Meskipun dibolosi oleh Kelantan menerusi penyerang, Norfarhan Muhammad pada aksi separuh akhir pertama di Kota Bharu minggu lalu, Irfan kekal optimis skuadnya mampu memadamkan defisit jaringan tersebut di laman sendiri Jumaat ini.



Bekas jurulatih Terengganu itu memberitahu skuadnya sudah bersedia untuk mempamerkan aksi cemerlang untuk terus menyalakan 'Misi 33' pada musim ini.

“Saya akui persembahan kami ketika di Kota Bharu pada minggu lalu tidak begitu 'menjadi' sebagaimana ketika kami menentang Pahang, Johor FC dan Sarawak pada aksi peringkat kumpulan.

“Begitupun, masih ada 90 minit dan kami tekad untuk mengatasi kelebihan yang ada pada Kelantan.

“Jaringan (Kelantan) itu masih belum selamat dan saya berharap persembahan pemain akan bertambah baik dan matang terutama ketika beraksi di laman sendiri pada Jumaat ini.

“Matlamat kami adalah untuk mara ke final pada musim ini dan 'Misi 33' masih berada di landasan tepat,” katanya kepada Kosmo!, semalam.

Ditanya mengenai kehilangan Mohd. Nasriq Baharom, Irfan kekal dengan nada tenang dengan memberitahu beliau masih memiliki ramai pemain lain untuk menggantikan tonggak pertahanan Selangor itu.

“Kami tidak perlu panik. Saya masih memiliki Mohd. Razman Roslan yang sudah biasa beraksi di posisi pertahanan kanan.

“Saya yakin dia mampu melaksanakan tugas itu dengan baik,” katanya.

Sementara itu, penyerang Gergasi Merah, Mohd. Amri Yahyah yang turut bersetuju dengan pandangan Irfan, mengakui benteng pertahanan The Red Warriors berjaya 'merantai' pergerakannya pada aksi di Stadium Sultan Muhammed IV.

Amri kini terdesak untuk menjaringkan gol di laman sendiri sambil menuntut agar rakan sepasukan bekerjasama dengan memberikan bantuan untuk meraih kemenangan.

“Ketika aksi di Kota Bharu, saya dikawal dengan begitu ketat oleh pemain-pemain Kelantan yang menyebabkan saya tiada ruang untuk bergerak dengan lebih bebas.

“Namun, saya tekad untuk membantu Selangor mara ke pentas final Piala Malaysia.

“Dengan sokongan rakan sepasukan, saya berharap dapat menjaringkan gol ketika menentang Kelantan pada separuh akhir kedua kelak,” katanya. -kosmo

Posting Komentar

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top