Aksi Radhi semasa mengemudi pasukan Kedah pada musim ini.


ALOR SETAR - Berikutan penetapan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bahawa setiap penolong jurulatih mesti memegang lesen kelas A pada musim 2013 menyebabkan Radhi Mat Din bakal melepaskan jawatan disandang sekarang.

Radhi yang kini memegang lesen kelas B sebagai Penolong Jurulatih Kedah bagaimanapun akan terus mengalas tanggungjawabnya sehingga Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) memutuskan penggantinya kelak.
             

KFA melalui kenyataan media berkenaan persiapan pasukan Kenari menjelang tahun 2013 menjelaskan pihak pengurusan sedang di dalam proses membuat penilaian calon yang paling layak menggantikan bekas pemain Kedah itu. Sementara itu, Radhi ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut dan beliau turut menyatakan masih belum memikirkan untuk mengambil lesen A setakat ini.
             
Penolong jurulatih kelahiran Pokok Sena itu memegang jawatan berkenaan sejak tahun 2004.
             
“Sehingga kini saya masih belum memikirkan untuk mengambil lesen kelas A. Namun, berharap pengganti saya nanti mampu membantu Ketua Jurulatih, Mario Tot untuk membawa Kedah layak ke saingan Liga Super dengan secepat mungkin,” katanya.
             
Sebelum ini, terdapat khabar angin di kalangan para penyokong bahawa Radhi bakal tidak menyambung jawatan yang disandang sekarang berikutan masih tidak memiliki Lesen Kelas A.
             
Sambil menyifatkan pertukaran pengurusan dan barisan jurulatih sebagai perkara biasa, jurulatih berusia 47 tahun tersebut akan berbincang kembali dengan KFA secara menyeluruh selepas ini.
             
Ditanya sama ada beliau akan menerima sebarang tawaran untuk mengalas mana-mana jawatan di dalam persatuan tersebut, Radhi menjelaskan akan mempertimbangkan kembali perkara tersebut.
             
“Terlalu awal untuk saya memberikan penjelasan tentang perkara ini, apa-apa pun saya perlu berjumpa kembali KFA untuk berbincang kembali mengenai perkara yang mula menjadi perhatian peminat bola sepak di negeri ini,” ujarnya.
             
Radhi adalah pemain yang beraksi dengan Kedah sejak tahun 1986 sebelum mengambil keputusan menggantung kasut pada 2000.
             
Era kegemilangannya antaranya berjaya membantu Kedah layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia sebanyak tujuh kali iaitu pada tahun 1987 sehingga tahun 1993.
             
Di dalam tempoh tersebut, beliau antara watak utama Kedah pertama kali menjulang Piala Malaysia pada 1990 selepas menunggu selama setengah abad dan kemudiannya pada tahun 1993.
             
Selain itu, beliau merupakan kapten pasukan Kedah paling lama mengalas tanggungjawab tersebut iaitu bermula tahun 1991 sehingga tahun 2000.
             
Sekali lagi beliau mengulangi sejarah apabila membantu Hijau Kuning meraih juara berganda pada tahun 2007 dan 2008 semasa mengalas jawatan penolong jurulatih bersama bekas Ketua Jurulatih, Mohd Azraai Khor Abdullah pada waktu itu berada di bawah pengurusan Allahyarham Datuk Ahmad Basri Akil. -sinar

Posting Komentar

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top