KETIKA Selangor berbangga dengan Misi 33 mereka, kurang 36 jam sebelum sepak mula perlawanan, Kelantan pula menghangatkan suasana panas saingan separuh akhir kempen Piala Malaysia edisi ke-86 apabila melancarkan Misi 03.

Ia dilancarkan di Kota Bharu, semalam.


Ia sebagai simbolik kepada usaha The Red Warriors untuk memburu trofi ketiga mereka, sekali gus merangkul kejuaraan treble pertama dalam pentas Liga Malaysia musim ini.
Ketua Jurulatih The Red Warriors, Bojan Hodak berkata, secara peribadinya Misi 03 itu diuar-uarkan untuk membakar semangat barisan pemainnya memburu piala ketiga selain berazam mahu menyekat cita-cita juara sebanyak 32 kali itu.

“Saya tahu ia satu perlawanan yang cukup sengit malam ini. Namun saya percaya dengan kredibiliti pemain saya.

“Mereka sudah ‘wake up call’ daripada persembahan terburuk dalam saingan suku akhir tempoh hari.

“Seperti yang saya beritahu sebelum ini, Selangor merupakan sebuah pasukan yang hebat. Namun kali ini mereka akan bermain di Kota Bharu terlebih dahulu.

“Jadi mereka kena ingat, tak ada mana-mana pasukan termasuk Selangor sekali pun mampu menewaskan kita di sini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian dalam sesi latihan terakhir semalam.

Mengulas mengenai percaturan taktikal beliau apabila bertemu Selangor, jurulatih dari Croatia itu bagaimana pun mengambil pendekatan tidak mahu mendedahkan kesebelasan pemain yang akan diturunkan pada malam ini.

“Apa yang boleh saya katakan, nama 10 pemain sudah pun berada dalam perancangan saya. Tinggal lagi esok (hari ini) paling sesuai untuk saya buat keputusan.

“Saya gembira S Subramaniam kembali dan saya harap Piya segera sembuh daripada masalah kesihatannya,” katanya.

Hodak bagaimanapun memberitahu, beliau bersedia menggandingkan semula Norshahrul Idlan Talaha dan Mohamad Ghaddar di bahagian jentera serangan dalam usaha pasukannya untuk mencari bekalan selesa.

Dalam pada itu, Hodak turut memberi amaran kepada barisan pemainnya agar berwaspada dan tidak membiarkan pemain Selangor bergerak bebas jika tidak mahu rekod bersih mereka di Kota Bharu lebur malam ini.

“Jangan biarkan Bosko Balaban dan Mohd Amri (Yahyah) bermaharajalela di depan pintu gol kita.

“Itu sahaja cara untuk kita sekat mereka berdua. Saya tahu kedua-dua pemain ini memang jenis ‘oppoturnis’, pantang ada peluang mereka akan menjaringkan gol,” katanya. -sinar

Posting Komentar

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top