Pemain Angkatan Tentera Malaysia diasak oleh pemain Lions XII malam tadi. - Foto Sinar Harian oleh Safwan Mansor

JURULATIH Angkatan Tentera Malaysia (ATM), B.Sathianathan menganggap kemenangan ke atas Lions XII dalam aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia malam tadi adalah wajar menjadi milik mereka.

Jelasnya, kemenangan tersebut bukan disebabkan tuah ataupun nasib, tetapi kejayan itu adalah ganjaran kepada usaha keras yang dilakukan oleh mereka.


"Perlawanan malam tadi sangat mendebarkan dan tidak dinafikan kami bermula dengan tidak baik pada separuh masa pertama.

"Tapi, selepas kita ketinggalan 1-0, kita bermain dengan lebih baik. kami mula menguasai perlawanan.

"Dan, saya rasa kami memang patut menang kerana kami terserlah sebagai pasukan yang lebih baik. Permainan kami lebih tersusun dan kami telah menguasai perlawanan," kata Sathia kepada Sinar Harian Online selepas pasukannya mencatat kemenangan ke atas Lions XII menerusi sepakan penalti 5-4 untuk mengesahkan slot final.

Tambah Sathia: "Lagipun dalam dunia bola sepak, apa-apa sahaja boleh berlaku dan kami telah buktikan."

"Apa yang saya ingin katakan, sepanjang perlawanan, ATM tidak pernah putus asa mencari gol. Dan, ATM bukan pasukan yang mudah putus asa.

"Jadi, bagi saya kami memang patut menang selepas segala usaha dan kerja keras yang dilakukan untuk mencapai kejayaan tersebut," katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika ditanya adakah kemenangan ATM ke atas skuad Kota Singa itu hanya disebabkan nasib semata-mata apabila perlawanan berakhir menerusi sepakan penalti.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai persiapan ATM menjelang aksi final pada 20 Oktober di Stadium Shah Alam, Sathianathan berkata, banyak persiapan yang perlu dilakukan bagi memperbaiki setiap kelemahan yang terdapat dalam pasukan itu.

"Banyak yang perlu diperbaiki. Tapi buat masa ini, kami akan berehat dulu.

"Saya kena bagi rehat kepada pemain setelah bertungkus-lumus untuk mencapai kejayaan pada hari ini (semalam).

"Selepas itu, baru saya akan berfikir untuk mengatur strategi untuk berentap dalam aksi final," kata beliau yang memilih pasukan Kelantan untuk berentap di pentas final.

"Kalau boleh saya mahu Kelantan mara ke final. Kita semua tahu, Kelantan adalah bekas pasukan saya dan saya bermula dari Kelantan.

"Jadi, saya harap dapat bertemu dengan pasukan itu, apa-apa pun, saya menerima siapa sahaja lawan nanti dan kami akan bergembira dengan perlawanan final," jelas beliau lagi.

Dalam aksi separuh akhir kedua semalam, penantian selama 46 tahun ATM untuk beraksi di pentas final Piala Malaysia akhirnya menjadi kenyataan setelah   menewaskan Lions XII  menerusi sepakan penalti 5-4, selepas kedua-dua pasukan terikat agregat 2-2. -sinar

Posting Komentar

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top