KUALA LUMPUR – MCA Wangsa Maju dan Puchong akan membantu warga emas di kawasan masing-masing mendapatkan skim Bantuan Rakyat 1Malaysia(BR1M), bagi memastikan tiada yang tercicir dalam pengagihan kali ini.

Pengerusi MCA Wangsa Maju, Datuk Yew Teong Look berkata, pihaknya menerima aduan daripada segelintir penduduk, kebanyakannya warga emas, bahawa mereka tidak mendapat bantuan itu walaupun memenuhi syarat.


“Selepas meneliti aduan mereka, didapati kebanyakannya adalah tidak mengisi borang dengan lengkap seperti dibiarkan kosong pada ruang ‘bilangan anak’ ataupun tulisan yang tidak jelas,” katanya ketika dihubungi di sini.

Bagi mengatasi masalah itu, Yew berkata pihaknya akan mengadakan siri jelajah dan ceramah bagi membantu mereka yang layak, terutama warga emas, menerima BR1M 2.0 tahun depan.

Katanya, MCA tidak mahu lagi ada rungutan daripada pemohon layak yang gagal menerima bantuan itu, sekali gus menjejaskan usaha kerajaan.

Pada pembentangan Bajet 2013, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan BR1M 2.0 yang turut dipanjangkan kepada individu bujang berusia 21 tahun ke atas dengan pendapatan kurang RM2,000 sebulan.

Pengerusi MCA Puchong, Datuk Wong Hock Aun pula berkata, sebilangan kecil pemohon di kawasannya yang tidak mendapat BR1M adalah warga emas yang tidak tahu membaca dan mempunyai masalah penglihatan.

“Mereka mengalami masalah penglihatan dan tidak mempunyai sesiapa yang membantu mereka mengisi borang, jadi mereka terpaksa mengisi borang sendiri,” katanya.

Wong berkata, untuk agihan BR1M 2.0, pihaknya akan mengadakan ceramah dan mengedarkan ceramah mengenai bantuan itu selain menyediakan perkhidmatan mengisi borang kepada warga emas yang bermasalah termasuk buta huruf.

Sementara itu, Setiausaha Parti Gerakan Rakyat Malaysia Bahagian Segambut, Wong Ruen Yuen pula menyarankan agar BR1M dapat diagih menerusi bank terpilih bagi memudahkan warga emas yang uzur dan orang kurang upaya.

“Bukan semua dapat menghadiri majlis penyerahan BR1M yang diadakan di dewan orang ramai dan sebagainya itu, terutamanya golongan kurang upaya serta warga emas yang mengalami kesulitan untuk bergerak ke mana-mana,” katanya. – BERNAMA

Posting Komentar

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top