Lokasi kejadian mangsa dipukul hingga maut.

ALOR GAJAH - Seorang pelajar tingkatan dua sebuah sekolah di sini, maut selepas dipercayai terbabit dalam pergaduhan di Perhentian Bas Pulau Sebang.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa, K Saravannan, 14, dipukul bertubi tubi dan dipijak pelajar lain sebelum ditinggalkan terbaring tidak sedarkan diri di tingkat atas perhentian bas berkenaan.

Sumber berkata, pelajar lain bersorak setiap kali mangsa rebah akibat dipukul dan mereka melarikan diri selepas melihat mangsa tidak sedarkan diri.

"Bagaimanapun, sekumpulan pelajar lain yang berada tidak jauh dari lokasi kejadian menghampiri mangsa selepas melihatnya tidak sedarkan diri.

"Mereka cuba kejutkan mangsa tetapi tiada sebarang tindak balas, menyebabkan mangsa segera dihantar ke Hospital Tampin untuk mendapatkan rawatan tetapi doktor mengesahkan mangsa telah meninggal dunia," katanya.

Ibu mangsa, N Mala, 36, berkata, malam sebelum kejadian, mangsa ada bersamanya di rumah di sebuah taman di Rembia, di sini, dan tidak menunjukkan apa-apa perubahan.

“Bagaimanapun, mendiang ada peluk saya berulang kali sambil memberitahu dia sayangkan saya dan tidak perlu risau kerana dia akan menjaga saya sampai bila-bila,” katanya.

Menurutnya, ia adalah kejadian kali ketiga mangsa dipukul pelajar lain kerana sebelum ini pernah cedera di kepala dipukul sekumpulan pelajar lain selepas waktu persekolahan.

Sementara itu, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah negeri, Asistan Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, dua pelajar tingkatan dua sebuah sekolah di Tampin ditahan bagi membantu siasatan.

Menurutnya, dua pelajar terbabit ditahan kira-kira jam 6 petang di padang taman berkenaan ketika mereka bermain bola.

“Difahamkan kejadian berpunca apabila mangsa mencabar kedua-dua suspek menyebabkan mereka berang dan menumbuk muka mangsa hingga berlaku pergaduhan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Alor Gajah, semalam. Raja Shahrom berkata, kejadian itu disaksikan kira-kira 30 pelajar membabitkan dua sekolah.

"Mangsa yang tidak sedarkan diri dihantar ke Hospital Tampin tetapi kemudiannya dipindahkan ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya. -sinarharian

Posting Komentar

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top