Korie bahagia di samping isteri tersayang dan anaknya, Yang Rainia Damia, 7.


WALAUPUN membuat keputusan untuk berundur dalam industri seni sejak sedekad yang lalu, nama adik ratu rock Malaysia, Korie, masih belum luput di ingatan peminat.

Malah, sehingga kini, lagu duetnya bersama Ella, Pergilah Sayang, masih tetap menjadi siulan ramai walaupun dirinya sudah lama meninggalkan dunia hiburan.

Pun begitu, Korie atau nama sebenarnya, Azahari Aminuddin, 43, tidak menafikan rasa rindu terhadap nyanyian masih menebal.



Tidak pernah terfikir untuk kembali mewarnai industri, Korie memberitahu, perjalanan seninya sudah berakhir.

"Bohonglah kalau saya kata saya tidak rindu nak kembali menyanyi. Namun, saya tak terfikir untuk menyanyi lagi walaupun mendapat galakan daripada isteri.

"Walaupun dah 10 tahun saya tidak menyanyi, namun saya masih menghasilkan lagu baru, tapi hanya untuk simpanan peribadi sahaja.

"Sehingga kini, saya masih menerima tawaran daripada pelbagai pihak untuk menyanyi termasuk kakak saya sendiri, Ella, namun saya masih belum bersedia," katanya yang mula berundur pada tahun 2002.

Tambah Korie, banyak perkara yang membelenggu fikirannya untuk kembali aktif di pentas sebagai penyanyi.

Antaranya, dia tidak sanggup menghadapi kegagalan sekiranya percaturan untuk membuat kemunculan semula tidak berhasil.

"Saya masih ragu-ragu dengan penerimaan peminat setelah sekian lama menyepikan diri. Saya takut orang dah lupakan saya.

"Bukan senang nak buat comeback, banyak perkara yang perlu kita fikirkan untuk memenuhi selera peminat. Saya takut, sambutan yang diterima tidak seperti yang dibayangkan.

"Tambahan pula, ramai pelapis baru yang lahir untuk memeriahkan industri kita. Sebab itulah saya berfikir panjang untuk kembali," katanya yang bakal menimang cahaya mata kedua pada awal Januari depan.

Isteri beri sokongan

Mendirikan rumah tangga bersama, Nor Baini Jaafar, 32, sejak 2004 yang lalu, ternyata mahligai yang dibina itu masih utuh sehingga kini.

Malah, perjalanannya sebagai anak seni tanpa dipalit kontroversi hebat, berjaya menambat hati Baini untuk menerimanya sebagai ketua keluarga.

"Kami berkenalan secara tidak sengaja di Shah Alam, ketika itu isteri masih belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang pengurusan. Dia pernah mengakui yang dia tidak meminati saya dalam nyanyian kerana genre pilihannya bukanlah rock.

"Namun, dia tidak menghalang minat saya dalam nyanyian malah, memberi sokongan kepada saya untuk kembali menyanyi. Saya bersyukur kerana dikurniakan isteri yang cukup memahami dan bijak dalam menguruskan perniagaan.

"Dia adalah kekuatan saya untuk terus melayari bahtera rumah tangga. Apa sahaja yang kami buat, pasti bersama. Bagi saya, dia sangat istimewa kerana dia bukan sahaja isteri, malah rakan kongsi dan teman rapat saya," katanya yang turut mengharapkan mahligai yang dibina terus berkekalan hingga ke akhir hayat
.
Miliki tiga butik

Menganggap kerjaya seni tidak menjamin kesenangan di masa hadapan, Korie mempunyai strategi tersendiri dalam memasarkan perniagaan butik bersama isterinya.

Lima tahun mengusahakan perniagaan ini, kini Korie dan isteri mampu tersenyum lebar setelah memiliki tiga butik, Bahtera Rainia, di Klang dan Shah Alam.

"Isteri saya memang minat fesyen, begitu juga dengan saya. Jadi, isteri memberi idea untuk buka butik ini dan saya membantunya dari segi modal perniagaan.

"Alhamdulillah, sambutan yang diterima sangat memuaskan dan kami juga mempunyai pelanggan tetap yang membeli baju kami secara borong, runcit dan tempahan.

"Kami bukan sahaja menyediakan pelbagai koleksi baju yang telah siap, malah kami turut menerima tempahan jahitan semua jenis pakaian lelaki dan wanita," katanya yang mengakui nama butik itu diilhamkan daripada nama anak pertamanya, Yang Rainia Damia, 7.

Anak minat menyanyi

Mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi. Darah seni Korie dan adik-beradik turut mengalir dalam diri anak perempuannya, Rainia.

Malah, menurut Korie, Rainia mampu menyanyi dengan baik dan menghafal lirik-lirik lagu baru yang diputarkan di corong-corong radio.

"Rainia lebih suka lagu-lagu Inggeris berbanding Melayu. Saya tidak pernah menggalakkannya untuk menceburi bidang seni, tetapi ia berlaku secara tidak langsung.

"Kadang-kala, ada lagu-lagu yang saya sendiri tidak tahu, namun Rainia mampu menyanyikan lagu itu. Saya tidak kisah jika itu minatnya, asalkan pelajaran tidak sesekali diabaikan.

"Pernah juga Rainia bertanya kepada saya, kenapa saya tidak menyanyi lagi. Jawapan saya, ringkas sahaja. Malas!," katanya yang memberitahu Rainia turut meminati penyanyi, Stacy dan Shila Amzah. -sinar

Posting Komentar

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top