Pemuda Lombok menjalani hukuman penjara dua bulan oleh Mahkamah Syariah Teluk lntan setelah gagal membayar denda.
TELUK INTAN - Impian gadis tempatan mahu hidup bersama lelaki Lombok berkecai apabila warga asing itu di penjara dua bulan selepas gagal membayar denda atas pertuduhan berkhalwat.
Bahkan lelaki berusia 31 tahun itu turut berdepan dengan tindakan diusir dan disenaraihitamkan oleh pihak Imigresen setelah selesai menjalani penjara di Penjara Pokok Sena, Kedah.
Ketua Imigresen Cawangan Teluk Intan, Khairul Anuar Sulaiman berkata, lelaki Lombok yang dikenali sebagai Ahwan itu memilih hukuman penjara dua bulan setelah gagal membayar denda RM1,000 yang dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Syariah, Mohd Haruddin Nizam Kamaruddin di sini.Katanya, tertuduh merupakan suspek yang dicekup berdua-duaan bersama teman wanitanya yang berasal dari Bentong, Pahang oleh pegawai penguatkuasa Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) dan pihak Imigresen di sebuah hotel murah di Jalan Changkat Jong, kira-kira jam 5 pagi pada 19 Oktober.
Menurutnya, pemuda yang bekerja sebagai buruh ladang sawit di Bota Kanan, bersama wanita yang bekerja di syarikat binaan swasta di Kampung Gajah dituduh berkhalwat di bawah Seksyen 54 (1) Enekman Jenayah Syariah 1992.
“Lelaki itu menjalani hukuman penjara di Penjara Pokok Sena, Kedah, selepas gagal membayar denda ditetapkan Hakim Mahkamah Syariah Teluk Intan.
“Tertuduh bakal menamatkan hukuman penjara pada 2 Disember nanti turut berdepan dengan tindakan usir dari negara ini dan akan disenarai hitam sebagai usaha mengekang kehadirannya di sini,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.
Kata Khairul Anuar, walaupun lelaki itu mempunyai dokumen perjalanan dan permit kerja sah, dia berdepan dengan tindakan pembatalan pasport serta merta kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8 (3) (d) Akta Imigresen.
Jelasnya, orang yang disabitkan di mana-mana negara atau negeri bagi mana-mana kesalahan dan hukum penjara dan tidak menerima sebarang pengampunan dikategorikan orang-orang yang di imigran larangan serta akan diusir daripada negara ini.
"Pihak Imigresen berhak membatalkan dokumen perjalanan kerana bersabit dengan kesalahan Jenayah Syariah mengikut Seksyen 19 Peraturan Imigresen 1963.
“Ini adalah kes pertama melibatkan lelaki Lombok dibicarakan di Mahkamah Syariah atas tuduhan berkhalwat dengan wanita tempatan, di kawasan ini,” katanya.-sinar harian
Posting Komentar
Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda