GADIS jelita yang bernama Ika Nabila ini, semakin kerap menghiasi kaca televisyen melalui drama bersiri lakonannya yang tampil dengan pelbagai watak sama ada yang serius mahupun komedi.

Namun, tidak dinafikan, bakat lakonan Ika Nabila atau lebih mesra disapa sebagai Ika, makin lama makin menjadi dan ternyata bakat lakonannya lebih menyerlah daripada nyanyian.


Ika yang merupakan bekas peserta program realilti Akademi Fantasia musim ke-6 juga menyedari perkara tersebut.

Namun, akui gadis berusia 23 tahun ini, menyanyi dan berlakon mempunyai kepuasan yang berbeza buat dirinya yang kini lebih dikenali sebagai seorang pelakon berbanding penyanyi.

"Memang saya bermula sebagai seorang penyanyi, tapi kini keghairahan saya telah beransur lebih ke arah lakonan. Mungkin kerana saya kerap berlakon daripada menyanyi dan kepuasan berlakon juga berbeza.

"Mungkin kini, saya rasa saya lebih sesuai berada di bidang lakonan kerana apabila saya pergi ke mana-mana acara, khalayak akan lebih dikenali sebagai pelakon dan bukannya penyanyi.

"Namun, sejujurnya saya memang meminati kedua bidang ini. Ini kerana dari kecil, saya memang minat kepada nyanyian. Saya tidak sangka pula akan dikenali khalayak dalam bidang lakonan," bicara Ika yang ditemui ketika sidang akhbar drama lakonan terbaharunya, Darjat di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ceritanya panjang lebar tentang permulaan karier sebagai pelakon, katanya, orang pertama yang menawarkan watak dalam bidang lakonan ialah Zulkifli M. Osman dan sejak itu, rezeki dalam lakonan semakin menjadi.

Masih aktif menyanyi

Walaupun dilihat jelas rezeki bagi Ika lebih memihak kepada bidang lakonan, namun, kerana minat sejak kecil, Ika masih lagi ingin aktif dalam nyanyian.

"Saya masih lagi aktif dalam bidang nyanyian, dan kini saya banyak terlibat dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Saya akan mengikut KBS ke Sarawak, Kelantan, Terengganu dan serata Malaysia untuk membuat persembahan.

"Sebagai seorang yang mulakan karier sebagai penyanyi, saya masih lagi menyanyi. Jika ada penggambaran pada sebelah siang, saya akan mengambil tawaran menyanyi pada sebelah malam atau pun pada hari minggu.

"Saya akan masih lagi terima dan membuat persembahan," tuturnya yang pernah punya single duet berjudul Tiada Rasa bersama Alif Razali.

Berbicara tentang perancangan menghasilkan single terbaharu, kata Ika, memang ada namun dia masih mencari lagu yang sesuai dan bertanya pendapat dan meluahkan hajat kepada beberapa komposer bagi penghasilan single yang akan berentak balada kelak.

Ujar gadis kelahiran Pulau Pinang ini, dia ingin menjadi seorang anak seni yang versatil. Dia bukan sahaja ingin aktif dalam lakonan dan nyanyian, namun katanya, jika diberi peluang dalam bidang pengacaraan, peluang tersebut tidak akan disia-siakan.

"Saya rasa jika peluang itu terbuka untuk saya, tiada salahnya jika saya mencuba pula dalam bidang lain. Saya mahu cuba semua, dan ingin lihat mana satu yang sesuai dengan diri saya dan boleh menjadi mata pencarian saya.

"Saya ingin jadi seorang wanita yang versatil, di mana, saya tidak hanya tertumpu kepada satu bidang sahaja. Sebenarnya, saya pernah mendapat tawaran jadi penyampai radio di salah sebuah stesen radio swasta tapi masih lagi perlu dirahsiakan maklumatnya," ujarnya sambil ketawa kerana terlepas cakap tentang tawaran tersebut.

Kisah cinta Ika

Ika pernah digosipkan bercinta bersama seorang pengkid yang bernama Adlin. Namun, kata Ika yang menafikan gosip tersebut, Adlin sebenarnya merupakan pengurus kegiatan seninya sejak dia keluar dari Akademi Fantasia lagi.

Namun, setelah beberapa kali diterjah tentang isu yang sama, cerita tersebut telah beransur sunyi. Bagi Ika, yang ketika itu masih hijau dalam industri menganggap kontroversi tersebut sebagai asam garam kehidupan sebagai artis dan tidak kurang juga menaikkan namanya dalam industri.

Namun, setelah itu, Ika kini dikatakan punya teman lelaki yang merupakan seorang anak VIP dan punya perancangan ingin berkahwin. Ketika soalan itu diajukan kepada Ika, gadis ini menjawabnya dengan senyuman dan diselangi dengan ketawa.

"Belum lagi, saya tidak punya teman lelaki lagi dan saya tidak bercinta bersama sesiapa pun lagi. Saya rasa belum masa untuk saya bercinta atau berkahwin.

"Ini kerana saya merupakan anak perempuan tunggal daripada empat orang adik-beradik dalam keluarga. Agak rugi jika saya berkahwin awal kerana saya ingin memberi fokus terhadap karier saya dahulu," jawab Ika yang dilihat ceria sepanjang sidang akhbar tersebut. -kosmo

Posting Komentar

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top