[GEMPAR]Air Empangan Sungai Selangor Akan Kering Dalam Tempoh 20 Hari!
KUALA LUMPUR – Kawasan sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor bakal berhadapan dengan krisis air dalam tempoh 20 hari lagi berikutan bekalan air mentah di Empangan Sungai Selangor terus menyusut dan kini berada pada tahap 52 peratus sahaja.
Jumlah itu adalah penurunan yang amat ketara berbanding kandungan pada tahap 60 peratus seperti yang dilaporkan portal berita ini minggu lalu.
Sumber industri air memberitahu Mynewshub, paras air di Empangan Sungai Selangor boleh menyusut ke tahap 50 peratus pada bila-bila masa sahaja kerana hujan masih belum turun di sekitar kawasan empangan tersebut.
Keadaan itu menurut sumber berkenaan menyebabkan aliran sungai-sungai ke dalam empangan semakin mengecil dan jumlah air yang masuk kembali ke empangan adalah terlalu sedikit berbanding jumlah air mentah yang disalur keluar untuk diproses bagi kegunaan domestik dan industri.
Sumber itu seterusnya berkata, sekiranya paras air mencecah tahap 50 peratus, proses pembenihan awan perlu dilakukan segera bagi memperbaiki keadaan.
“Ini kerana empangan itu membekalkan air kepada 60 peratus penduduk di Kuala Lumpur dan Selangor.
“Bayangkan apa akan berlaku selepas 20 hari ini sekiranya hujan masih tidak turun di kawasan sungai yang mengalir ke empangan,” katanya di sini hari ini.
Sebelum ini, Mynewshub menyiarkan berita dan gambar mengenai situasi semasa Empangan Sungai Selangor yang mana kuantiti air mentahnya terus merosot.
Empangan Sungai Selangor dibina di bawah Skim Bekalan Air Sungai Selangor Fasa 3 (SSF3) pada tahun 2000 berikutan krisis air yang menjejaskan pengguna di Selangor dan Wilayah Persekutuan pada 1998.
SSF3 juga dikenal pasti sebagai penyelesaian yang mampu dilaksanakan untuk memenuhi permintaan bekalan air yang semakin meningkat.
Sungai Selangor adalah sumber air terakhir yang sesuai dibangunkan bagi memenuhi permintaan yang meningkat dan selepas itu air mentah perlu diimport dari Pahang menerusi pemindahan air antara negeri.
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum ini mengakui bahawa kapasiti air di Empangan Sungai Selangor mengalami penurunan dan bersedia untuk melakukan pembenihan awan apabila ia mencecah paras di bawah 50 peratus. -mynewshub
Posting Komentar
Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda