Ubat Viagra mudah didapati di hospital, klinik atau farmasi namun hanya akan diberikan mengikut dos tertentu berdasarkan tahap kesihatan pesakit.

Pesakit tidak perlu malu untuk berjumpa doktor dan mendapatkan nasihat bagi membantu menyelesaikan masalah mereka.



Lambakan ubat kuat atau ubat perangsang di pasaran menyebabkan ramai yang mengalami masalah dalam hubungan kelamin mengambil ubat tersebut tanpa ragu-ragu berikutan dijanjikan boleh memberikan kepuasan kepada mereka. Namun, mengambil ubat tersebut tanpa nasihat daripada doktor boleh

memudaratkan mereka malah mungkin juga akan terus menyebabkan mati pucuk. Ikuti wawancara bersama Dr. Zaharudin Mohamed untuk mengetahui lebih lanjut perkara ini.
Sekarang ini terlalu banyak ubat kuat yang berada di pasaran. Bolehkah doktor terangkan jenis-jenis ubat tersebut?



Terdapat beberapa jenis ubat yang boleh didapati di hospital, klinik dan farmasi yang diluluskan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan antaranya Viagra (Sildenafil Citrate), Cialis (Taladafil) dan Levitra (Vardenafil HCI). Ubat-ubat ini biasanya diambil oleh pesakit yang mengalami masalah disfungsi erektil yang akan membantu hubungan kelamin.

Bagi pesakit yang mahu mengambil ubat-ubat ini, perlu mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu. Pemeriksaan kesihatan perlu dilakukan untuk mengetahui tahap kesihatan seseorang itu bagi memastikan mereka sesuai untuk mengambil ubat tersebut atau tidak kerana bukan semua pesakit boleh mengambil ubat ini.

Bagi mereka yang mempunyai penyakit jantung, darah tinggi, kencing manis atau penyakit buah pinggang, mereka boleh mengambil ubat tersebut tetapi dengan dos tertentu dan pada tahap kesihatan yang dibenarkan.

Kebanyakan mereka yang menghadapi masalah hubungan kelamin lebih selesa mengambil ubat yang berada di pasaran yang belum dijamin selamat terutamanya yang didakwa diperbuat daripada herba. Apa pandangan doktor mengenai perkara ini?

Mereka yang membeli ubat ini di pasaran bukan kerana hanya terpengaruh dengan pujukan iklan atau rakan, tetapi beranggapan ubat yang dibuat secara tradisional ini selamat. Sebenarnya, mereka malu dan segan untuk berjumpa doktor kerana mereka fikir penyakit mereka ini terlalu sensitif untuk dibualkan. Lagipun, lelaki ini mempunyai ego, jadi memang sukar untuk mereka merendahkan maruah mereka sendiri walaupun untuk kebaikan mereka.

Tidak dinafikan, memang terlalu banyak ubat yang terdapat di pasaran sama ada yang dijual melalui internet, kaki lima atau majalah dan tidak kurang juga ada yang dijual di kedai ubat-ubatan. Ini termasuklah ubat yang dijual dalam bentuk pil, kapsul, minuman dan sebagainya.

Namun, ada sebahagian daripadanya yang belum dijamin selamat berikutan mungkin tidak mendapat kelulusan KKM.
Ada juga ubat yang diperbuat daripada herba atau tradisional, namun sebagai pengguna, mereka sendiri tidak dapat memastikan samada kandungan dalam dalam ubat tersebut tidak bercampur dengan bahan kimia lain. Lagi pun, sekarang ini masih belum ada lagi kajian saintifik mengenai kandungan ubat tradisional ini yang boleh menjamin keselamatannya.

Apa yang membimbangkan kepada mereka yang mengambil ubat-ubat ini tanpa nasihat daripada doktor atau yang tidak diluluskan KKM, ia boleh memberikan kesan negatif dalam jangka masa pendek atau panjang bergantung kepada kesesuaian ubat itu kepada pesakit.

Memang ubat-ubatan ini mampu memberikan keupayaan luar biasa dalam masa yang singkat dan ini sekali gus akan menyelesaikan masalah dalam hubungan kelamin mereka. Tetapi, jika ubat-ubat itu dicampurkan dengan bahan kimia yang berbahaya, ia mungkin akan memudaratkan pesakit dengan kesan sampingan lain.
Apakah masalah atau kesan yang terpaksa ditanggung pesakit sekiranya mengambil ubat tanpa kelulusan KKM?

Ada juga yang boleh pitam atau pengsan atau mengalami tekanan darah rendah. Ini bergantung kepada daya ketahanan pesakit itu.
Kemungkinan ada yang akan menghadapi kegagalan buah pinggang untuk berfungsi seperti biasa. Selain itu, seseorang itu juga mungkin menghidapi priapism iaitu masalah ketegangan alat kelamin yang tidak normal selama empat jam atau lebih. Sekiranya, ia tidak dirawat boleh menyebabkan kerosakan tisu pada alat sulit dan menyebabkan impotens iaitu mati pucuk selama-lamanya.

Kesan atau komplikasi kerap kali berlaku apabila ubat-ubat kuat yang diambil itu telah dicampurkan pelbagai bahan yang terlarang yang hanya boleh dikenal pasti sekiranya di diperiksa di makmal.
Jika impotens berlaku, ubat yang diluluskan KKM pun tidak mampu untuk mengembalikan kesihatan pada zakar. Justeru, saya harap, mereka yang ada masalah dalam hubungan kelamin mesti berjumpa dengan doktor. Setakat ini, hanya mereka yang berumur 60 tahun ke atas sahaja yang berani menyuarakan masalah mereka, sedangkan yang masih muda lebih suka memilih cara mudah dengan membeli ubat di pasaran.
Apakah saranan doktor dalam penjagaan penyakit ini?

Kesihatan perlu dijaga dari usia muda lagi yang melibatkan gaya hidup sihat yang termasuk cara pemakanan, kesihatan fizikal dan minda. Namun, mereka yang mengidap penyakit ini sememangnya tidak boleh dijangka.
Namun, sekiranya berhadapan dengan masalah itu, seharusnya pesakit buang ego mereka dahulu dan terus berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan nasihat. Selalunya, kita akan memeriksa tahap kesihatan mereka terlebih dahulu sebelum mengesyorkan jenis ubat yang perlu diambil.

Sekiranya mereka mempunyai penyakit lain, kita akan menyarankan pengambilan ubat mengikut dos-dos yang tertentu. Jadi, mereka perlu mengambil ubat ini dengan mengikut arahan doktor kerana ada jenis ubat yang boleh bertahan 24 jam dan ada yang 48 jam. Dalam tempoh itu, pesakit tidak perlu mengambil ubat lain, dan hanya perlukan rangsangan daripada pasangan untuk membantu menegangkan zakar sebelum melakukan hubungan kelamin.


sumber



Posting Komentar

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top