Siti Nor Fitrah menikmati makanan disediakan pihak hospital selepas menduduki peperiksaan PMR, semalam.


TAMPIN – Akibat penyakit dihadapinya, seorang calon Penilaian Menengah Rendah (PMR) terpaksa mengambil peperiksaan berkenaan di Hospital Tampin, semalam.

Siti Nor Fitrah Ramli, 15, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Undang Haji Adnan (Duha), di sini, mengalami gangguan tekanan atau Traumatic Stress.


Dia yang dikesan mengalami penyakit itu sejak Jun lalu berbuat demikian atas nasihat pakar psikiatri hospital terbabit.

Siti Nor Fitrah berkata, penyakit itu menyebabkan dia mudah pengsan sebaik sahaja tiba di sekolah.

Malah katanya, dia pernah pengsan sebaik sahaja menjejak kaki ke pintu pagar sekolah.

“Sejak Jun lalu, sudah tidak terkira berapa kali saya pengsan ke sekolah. Doktor merawat saya memberitahu saya sering mempunyai perasaan ‘tidak boleh ke sekolah’.

“Penyakit ini membuatkan perasaan saya seolah-olah trauma dengan sekolah dan atas nasihat doktor pada Isnin lalu, kes saya dirujuk ke HT untuk membolehkan saya menduduki peperiksaan PMR di hospital tanpa risiko untuk pengsan seperti di sekolah,” katanya di HT, semalam.

Dalam pada itu, Siti Nor Fitrah mengakui sedih dan terkilan kerana tidak berpeluang untuk menduduki peperiksaan bersama rakan lain di sekolah, namun terpaksa akur dengan nasihat doktor.

“Saya akan cuba memberi yang terbaik untuk peperiksaan PMR walaupun persekitaran menduduki peperiksaan seperti ini tidak pernah sama sekali tergambar dalam fikiran saya selama ini,” katanya.

Siti Nor Fitrah adalah antara 1,176 calon yang menduduki PMR di daerah Rembau, tahun ini. -sinar

Posting Komentar

Jika anda merasakan artikel ini berguna sila share bersama kawan-kawan anda
Sila Komen Dengan Berhemah,Tulisan Dari Anda Adalah pendapat Dari Anda

 
Top